Apa motif turun had umur kewarganegaraan 21 kepada 18 tahun?

Dato' Azman Nasrudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Motif di sebalik penurunan had umur bagi kewarganegaraan daripada 21 tahun kepada 18 tahun dipersoalkan oleh Dato’ Azman Nasrudin (PN-Padang Serai), walaupun perubahan itu selaras dengan pengiktirafan kedewasaan.

Beliau menyatakan kebimbangan mengenai kematangan individu pada usia itu dalam membuat keputusan penting berkaitan kewarganegaraan.

“Sejauh manakah kajian yang dijalankan terhadap kesan prospektif khususnya anak yang telah dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia.

- Advertisement -

“Serta implikasi terperinci terlibat susulan penurunan had umur kepada 18 tahun yang turut dijalankan oleh negara-negara lain seperti United Kingdom, Kanada dan Australia,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata, lebih membimbangkan adalah cadangan awal untuk memindahkan peruntukan berkaitan kanak-kanak baru lahir yang ditinggalkan dan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dari kategori kuat kuasa undang-undang ke kategori pendaftaran, walaupun cadangan itu telah ditarik balik.

“Kita perlu mempersoalkan mengapa cadangan sebegini boleh wujud pada mulanya,” ujar beliau.

Menurutnya, itu menunjukkan kecenderungan yang membimbangkan dalam pemikiran kerajaan.

Beliau meminta penjelasan mengenai elemen mekanisme kawalan yang dirangka bagi golongan bayi yang dijumpai dan generasi kanak-kanak tanpa negara.

Itu katanya, termasuk pengguguran perkataan pemastautin tetap daripada Seksyen 1(A) agar selari dengan semangat perlembagaan.

Tidak konsisten

Selain itu, beliau menyatakan bahawa sikap tidak konsisten dalam pendekatan kerajaan perlu dipersoalkan kerana mereka ingin memperketatkan proses kewarganegaraan tetapi mencadangkan memudahkan kewarganegaraan untuk anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.

Menurut beliau, walaupun langkah itu dianggap progresif, ia menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dasar kerajaan.

Jelas beliau, terdapat keperluan untuk mendapatkan jaminan bahawa setiap permohonan kewarganegaraan akan diteliti secara mendalam.

Tambahan pula katanya, kerajaan perlu memastikan penyelesaian dilakukan dalam tempoh yang diperlukan, terutama bagi situasi yang mungkin memerlukan lanjutan. – HARAKAHDAILY 17/10/2024

- Advertisement -