
KUALA LUMPUR: Kenyataan seorang individu bergelar ‘Tan Sri’ yang menyeru orang-orang Cina di Malaysia memberi keutamaan kepada Negara China melebihi segala-galanya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, artikel tersebut yang disiarkan portal The Rakyat Post, masih lagi ada di dalam laman web msn.com.
“Dipetik beberapa parti, nama parti yang ada di dalam dewan ini dan saya yakin sudah tentu sahabat-sahabat saya di kalangan Ahli Parlimen tidak setuju dengan tulisan ini.
“Tetapi ini membuktikan bahawa adanya usaha-usaha tertentu untuk menggugat kesetiaan kepada Malaysia,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata demikian sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Memetik artikel tersebut, kata beliau, individu itu menyatakan bahawa ideologi Dr Sun Yat Sen, seorang pengasas komunis, masih lagi relevan dan perlu diletakkan sebagai suatu keutamaan.
“Saya bacakan: Lee argued that Dr Sun Yat-sen’s teachings remain deeply relevant today and must guide political discourse among Chinese communities, both in Malaysia and worldwide.
“Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima. Tetapi ini membuktikan bahawa kadang-kadang menjadi warganegara Malaysia ini tidak dihormati keistimewaan ini dan tidak dihormati anugerah ini oleh sebahagian daripada orang kita,” katanya.
Tegas beliau, individu seperti itu disifatkan sebagai antara mereka ataupun pihak yang tidak boleh diberikan kewarganegaraan dan perlu dilucutkan warganegara.
“Justeru saya menyeru supaya sampai masanya untuk kita mewujudkan Akta Warganegara, suatu akta yang khusus untuk kita bincang soal pemberian kewarganegaraan dan juga bagaimana untuk melucutkan hak-hak warganegara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024











