Apa penyelesaian anak ‘stateless’?

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) membangkitkan isu mengenai bayi yang dijumpai tetapi tidak diiktiraf sebagai warganegara kerana kegagalan membuktikan identiti ibu bapa, menyebabkan mereka menjadi ‘stateless’.

Beliau turut mempersoalkan tempoh siasatan yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelesaikan masalah tersebut serta menuntut penyelesaian segera.

“Dan kalau sekiranya tak dapat dibuktikan ibu atau bapanya warganegara, anak itu jadi ‘stateless’. Sampai bila, apa penyelesaian anak ‘stateless’? Dan kita ramai (sehingga) beribu (‘stateless’) dalam negara kita,” ujar beliau.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS itu mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau mencadangkan agar mekanisme pemberian kad identiti khas diwujudkan bagi memastikan anak-anak ‘stateless’ itu memiliki identiti yang sah.

“Kita sekarang ada kad warna biru, kad IC, ada merah dan satu lagi mesti diberi supaya sekurang-kurangnya ‘stateless’ ni ada identiti. Ya. Kalau tidak dia nak pergi ke mana?” jelasnya.

Selain itu, beliau mencadangkan penggunaan biometrik bagi setiap anak yang lahir untuk mengelakkan pemalsuan sijil kelahiran.

Beliau menyatakan bahawa sijil kelahiran sering disalahgunakan dan perlu dikawal dengan lebih ketat.

Tambahan pula, beliau menegaskan nilai kewarganegaraan sangat tinggi sehingga ada yang sanggup membayar ratusan ribu untuk memilikinya. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -