MB saran solat hajat hadapi musim tengkujuh

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap rakyat Kelantan mengadakan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan sepanjang musim tengkujuh dijangka bermula November ini.

Menteri Besar (MB), Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, ada ramalan dikeluarkan agensi berkaitan kemungkinan berlaku banjir di Kelantan tahun ini.

“Saya menyeru seluruh rakyat Kelantan agar mengadakan solat hajat memohon kepada Allah SWT kurniakan kesejahteraan dan dijauhi segala musibah tidak diingini berlaku,” katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

- Advertisement -

Musim tengkujuh dijangka berlaku bermula November ini hingga Mac 2025 bakal menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan terutamanya di Pantai Timur.

Menurut Jabatan Meteorologi, episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember.

Kerajaan Kelantan turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menambah jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai persiapan menghadapi banjir.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim sebelum ini memberitahu semua agensi terbabit turut diminta membuat persediaan rapi sebagai persediaan banjir. – HARAKAHDAILY 16/10/2024

- Advertisement -