
KISAH seseorang yang menemui Tok Kenali ini penuh dengan hikmah tentang rezeki dan bagaimana kita memahaminya. Orang tersebut datang kepada Tok Kenali dalam keadaan yang sempit hidupnya, dengan ramai anak untuk ditanggung.
Dia berharap agar Tok Kenali mendoakan supaya dia diberi rezeki yang lebih banyak, khususnya harta yang melimpah.
Namun, selepas itu, dia datang lagi dan berkata, dia memperolehi anak lagi dan bukannya harta. Dengan tersenyum, Tok Kenali menjawab, “Bukankah anak itu juga rezeki?”
Allah memberikan rezeki dalam pelbagai bentuk, bukan hanya dalam bentuk wang atau harta benda. Misalnya, kita mempunyai lima orang anak, dan Allah memberi kita rezeki yang cukup untuk menampung mereka.
Apabila lahir anak yang keenam, rezeki itu juga akan ditambah, walau kita tidak nampak secara langsung. Begitu pun, anak keenam itu tetap dapat makan, minum, dan pakai baju, menunjukkan bahawa rezeki itu bertambah dengan cara yang tidak selalu disedari.
Anak adalah satu bentuk rezeki jangka panjang. Ketika mereka kecil, kita merasa penat dan susah menguruskan mereka, namun apabila mereka dewasa, mereka berpotensi menjadi seseorang yang hebat dan mampu menolong kita pula.
Allah memberi rezeki dalam bentuk manusia yang berpotensi besar untuk mengubah kehidupan keluarga kelak. Selain itu, dalam hadis Nabi, disebutkan bahawa Allah memiliki beberapa cara untuk mengabulkan doa. Pertama, Dia memberi kita apa yang kita minta.
Kedua, Dia tidak memberi kita apa yang kita minta, tetapi menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Ketiga, Allah menyimpan doa kita untuk akhirat. Di Padang Mahsyar kelak, doa-doa yang belum dikabulkan di dunia akan menjadi pemberat amalan yang membantu kita.
Oleh itu, ulama mengatakan bahawa setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah akan diterima asalkan ia bukanlah perkara yang berdosa atau maksiat.
Contohnya, doa meminta harta hasil curi atau doa untuk mencelakakan orang lain tidak akan diterima. Tetapi, doa-doa yang baik, walau tidak dikabulkan di dunia, akan tetap bernilai di sisi Allah.
Sebab itu, kita disarankan untuk terus berdoa dengan keyakinan penuh bahawa setiap doa yang baik diterima oleh Allah. Rezeki datang dalam bentuk-bentuk yang pelbagai, dan setiapnya adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















