
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi kebenaran ‘Great British Circus’ membuat persembahan di AEON Mall dengan syarat hanya menampilkan ahli sarkas lelaki sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, penampilan ahli sarkas perempuan bertentangan dengan hukum syarak.
Katanya pertunjukan sirkus di tempat lain menampilkan ahli sarkas wanita yang memakai kain celana dan membuka aurat.
“Pematuhan kumpulan sarkas luar negara itu membuktikan syarat-syarat hiburan yang dilaksana di Kelantan difahami semua pengurus acara.
“Kerajaan negeri tidak pernah menolak program hiburan asalkan ia tidak berlawanan dengan hukum syarak serta mengambil kira sensitiviti masyarakat dan agama.
“Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah semula jadi manusia yang memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertunjukan sarkas tersebut yang akan diadakan dari 16 Oktober hingga 17 November ini.
Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya bertajuk ‘al-Halal wa al-Haram fi al-Islam’ menyatakan hiburan diharus dalam Islam kerana boleh menggembirakan hati, merehat minda, menyenang jiwa dan menyedap pendengaran dengan syarat tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh menimbulkan perbuatan dosa.
Kerajaan Kelantan menggubal Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 dan mewujudkan Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 dan Pekeliling Negeri Bil 4/2003 bagi menyelia semua aktiviti hiburan.
Pada 2 Ogos lalu kerajaan negeri mewartakan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan sebagai Pegawai Pelesen yang baharu bagi menggantikan Ketua Jajahan berkuatkuasa 1 Ogos 2024.
Ia bertujuan bagi memperkasakan lagi operasi penguatkuasaan ke atas sebarang bentuk penganjuran acara hiburan tanpa kebenaran.
Terbaru kerajaan negeri dalam proses untuk membentangkan Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan yang baharu untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa.
Hilmi turut menasihatkan semua pengurus acara dan penganjur yang berhasrat untuk mengadakan acara hiburan membuat konsultasi awal dengan PBT.
“Ia bertujuan agar tidak melanggar peraturan dan garis panduan yang ditetapkan Pegawai Pelesen dan dianjurkan dengan permit hiburan sah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024











