Hentikan iklan syarikat vape

Dr Suhazeli Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kontroversi mengenai penajaan oleh syarikat vape kembali hangat diperkatakan, kali ini melibatkan program bantuan mangsa banjir di Kedah yang dianjurkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Safwan Jaafar.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah, meluahkan kebimbangan terhadap perkara itu sekali gus berkata, sebarang promosi dan iklan produk vape adalah dilarang di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan 2024 (Akta 852).

“Nama syarikat vape pun jelas, tidak lagi berselindung di sebalik aktiviti permotoran atau seumpamanya seperti di Terengganu. Adakah mereka tidak tahu bahawa akta 852 sudah pun dikuatkuasakan semenjak 1 Oktober lepas?

“Mungkin saya boleh peringatkan kembali bahawa mempromosikan dan mengiklankan vape adalah tidak dibenarkan di bawah seksyen 7 dan 9 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan 2024 (Akta 852),” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, penggunaan nama syarikat vape secara terang-terangan dalam aktiviti kebajikan itu bukan sahaja melanggar akta, malah boleh dianggap sebagai bentuk promosi terselindung.

Kata lagi, meskipun program kebajikan itu bertujuan membantu mangsa banjir, dana dari sumber yang tidak halal tetap bertentangan dengan prinsip undang-undang dan moral.

“Walaupun mereka menggunakan alasan bahawa ini adalah program kebajikan untuk membantu mangsa banjir, menggunakan sumber dana yang tidak halal untuk kebajikan tetap salah. Hukum tetap hukum dan kita tidak boleh menutup mata terhadap fakta ini,” ujarnya.

Beliau turut merujuk kepada insiden sebelum ini, di mana program RXZ di Terengganu juga disokong oleh syarikat vape, menyebabkan kritikan meluas dari pelbagai pihak.

“Walaupun syarikat vape hanya salah satu penaja dari beberapa syarikat lain lagi dan peserta pun membuat bayaran yuran penyertaan.

“Kerajaan negeri juga sudah mengambil beberapa tindakan positif untuk menjadi satu pengajaran kepada pihak-pihak tertentu dan pihak kerajaan negeri itu tersendiri agar sentiasa berhati-hati pada masa akan datang. Lagipun bulan lepas Akta 852 masih lagi belum dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Suhazeli, Akta 852 yang baharu sahaja diluluskan di parlimen dan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Oktober lalu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa budaya merokok dan mengvape adalah mendatangkan mudarat yang besar.

Sehubungan itu, kata beliau, apa-apa kaedah yang menyebabkan produk vape mendapat populariti atau normalisasi dalam masyarakat harus dihentikan.

“Justeru, apa jua kaedah yang digunakan untuk menyebabkan mereka menjadi popular adalah salah satu daripada bentuk promosi yang akhir sekali memberi galakan kepada anak-anak muda dan masyarakat untuk membeli produk merokok mereka itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2024

- Advertisement -