
BAGAN SERAI: Pengakuan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu ‘podcast’ membuktikan penipuan Pakatan Harapan (PH) dan Umno terhadap penyokong masing-masing.
Pengakuan itu malah umpama ‘check mate’ terhadap dolak-dalik penafian Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan konspirasi politik beliau bersama Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, pendedahan Shamsul dalam pengalamannya sebagai calon PH P.075 Parlimen Bagan Datuk PRU15 membuktikan bahawa konspirasi politik antara PH dan Umno sememang wujud walaupun dinafikan sebelum ini.
“Pengakuan Anwar bahawa Zahid telah bersetuju memberikan sokongan menubuhkan kerajaan membuktikan bahawa kerajaan yang ada hari ini bukanlah Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan atas arahan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebaliknya konspirasi awal antara Anwar dan Zahid Hamidi. Ia telah disahkan seawal 2:30 pagi selepas hari pengundian berbanding penubuhan kerajaan dua hari kemudian,” tegas beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak dalam kenyataan, hari ini.
Oleh itu tegasnya, PAS Perak mengambil perhatian akan perkara ini yang sekali gus mengesahkan desas-desus telah dinafikan oleh kedua-dua presiden parti itu sebelum ini, hakikatnya adalah perkara benar.
“Implikasi dari pengakuan Shamsul Iskandar membuktikan tindakan Anwar mengarahkan agar kiraan semula tidak dibuat dalam keadaan pertikaian yang sangat munasabah, adalah membunuh semangat demokrasi.
“Selain itu, terbukti Zahid juga telah mengkhianati pengundi Umno yang memberikan undi kerana menolak Anwar dalam kempen ‘No Anwar No DAP’ tetapi selepas pilihan raya, berlaku sebaliknya,” kata beliau lagi.
Terdahulu, Shamsul Iskandar melalui ‘podcast’ tersebut ‘mendedahkan’ bahawa beliau melalui arahan Anwar agar kiraan semula undi untuk kerusi P.075 Parlimen Bagan Datuk pada PRU15 lalu itu tidak dilakukan.
Pemimpin PKR itu tidak menafikan ‘memberi laluan’ kemenangan kepada Zahid bagi memastikan Kerajaan Madani ditubuhkan ‘melalui Jjalur rasmi’ dan mengaku telah ada perjanjian di antara Anwar dan Zahid untuk menubuhkan kerajaan bersama.
“Adalah sesuatu yang amat malang jika sistem demokrasi dibunuh semudah itu. Rakyat dipergunakan melalui ketempangan sistem yang ada.
“Sewajarnya keadaan ini diperbetulkan selaras dengan perjuangan reformasi yang dilaungkan beliau (Anwar) suatu ketika dahulu iaitu berkonsep pilihanraya bersih dan adil,” tegas ADUN Semanggol itu lagi.
Berikutan itu, beliau menegaskan, PAS Perak melihat pengakuan itu sebagai sesuatu yang besar dan perlu diberi perhatian kerana ia telah membuktikan bahawa kerajaan ditubuhkan menerajui negara ketika ini, penuh dengan muslihat dan pembohongan serta membunuh semangat demokrasi pilihan raya.
Rakyat Malaysia khususnya penyokong dan ahli Umno katanya, perlu menyedari bahawa pemimpin yang mereka sanjung dan sayangi telah mengkhianati amanah dan kepercayaan diberikan selama ini.
“Penafian Anwar serta serangan beliau kepada PAS dan Presiden PAS kononnya berdusta mengenai konspirasi itu juga adalah satu ‘pembohongan tengah hari rembang’.
“Ternyata kerajaan yang ada pada hari ini dibina dengan asas penipuan dan akan berterusan menipu rakyat demi kuasa dan menyelamatkan mereka dari hukuman,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/10/2024











