
KANGAR: Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-Wuxi, China (DPPPM-WC), Datuk Dr Hassan Saad berkata, Perlis berpotensi besar untuk kembali sebagai pengeluar gula sebagaimana pernah dicapai suatu ketika dahulu.
Menurut Dr Hassan, sekiranya kilang gula yang dihasilkan daripada pisang berjaya beroperasi dengan baik, ia bakal menjadi pemangkin kepada kedatangan lebih banyak pelaburan ke negeri Perlis, khususnya melalui kerjasama yang dijalankan antara DPPPM dan Wuxi.
“Dengan infrastruktur tenaga baharu yang sedia ada, pembangunan kilang gula dari pisang dapat dipercepatkan, sekali gus mengukuhkan lagi industri di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan DPPPM-WC di sini, semalam.
Beliau turut memaklumkan, perjanjian Surat Minat (LOI) yang telah dimeterai bersama Universiti Sains Malaysia (USM) memberi isyarat positif bahawa produk ini boleh dipasarkan ke China, di mana permintaan terhadap gula adalah sangat tinggi.
“Kita tidak mahu lagi mengambil masa yang lama untuk meneroka peluang ini, sebaliknya kita mahu terus ke peringkat pelaksanaan. Kita sudah ada kejayaan awal, kini tiba masanya untuk mengembangkan lagi usaha ini,” tambah beliau.
Selain itu, Dr Hassan menyeru Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan proses menaik taraf kemudahan penginapan di Perlis, seperti Hotel Brasmana, bagi menyokong kedatangan pelabur asing yang memerlukan kemudahan penginapan yang berkualiti.
Dalam majlis sama, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, menggesa anak muda tempatan supaya merebut peluang daripada 500 pekerjaan yang akan ditawarkan oleh syarikat Jabil pada tahun hadapan.
Menurut beliau, kawasan industri Chuping Valley Industrial Area (CVIA) kini sedang dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada kluster-kluster utama seperti tenaga boleh diperbaharui, tenaga hijau, industri halal, dan automotif kenderaan berkuasa elektrik (EV).
“Kerjasama ini diharapkan akan membuka lembaran baharu bagi pembangunan Perlis menjelang 2025, sambil menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
“Kerjasama in dijangka akan memperkukuh pembangunan ekonomi negeri, khususnya melalui pelaburan dari China,” katanya.
Mohd Shukri berharap agar usaha menarik pelabur ini dapat dipergiatkan demi manfaat generasi muda dan pembangunan Perlis secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 11/10/2024












