
HANNAH, dengan penuh kesungguhan, memohon perlindungan Allah buat Maryam dan keturunannya daripada godaan syaitan yang direjam (Rujuk: Surah Ali ‘Imran, 36). Dalam satu riwayat, disebutkan bahawa Maryam membesar dengan cepat – sehari seperti setahun.
Dia segera menjadi anak yang comel, berkulit cerah, dan berakhlak mulia. Ketika usianya mencapai belasan tahun, tibalah masanya bagi Hannah menunaikan nazarnya, kerana nazar itu penting dan mengikat.
Dalam Islam, nazar adalah janji yang serius. Kalau nazar tersebut sukar atau mustahil untuk ditunaikan, kaffarah diperlukan sebagai ganti.
Dalam satu kisah, ada seorang yang sudah lama menantikan kehadiran anak. Akhirnya, dia bernazar, “Kalau aku dapat anak, aku akan sembelih kambing yang ekornya sejengkal.” Dengan izin Allah, dia dikurniakan seorang anak lelaki. Tapi, timbul masalah – puas dia mencari kambing yang ekornya sejengkal, namun tiada. Biasanya ekor kambing memang pendek sahaja, tidak sampai sejengkal.
Kerana buntu, dia bertemu seorang alim. Setelah mendengar kisahnya, orang alim tersebut berkata, “Mudah sahaja, ambil ukuran sejengkal dari anakmu.” Orang alim itu menjelaskan, nazarnya hanya menyebut “sejengkal” tanpa merujuk sejengkal siapa.
Dengan itu, dia terlepas dari nazar yang rumit. Pengajaran di sini – janganlah bernazar perkara yang pelik atau sukar, kerana ia bakal mengikat diri kita.
Ada pula kisah lain yang hampir serupa. Seorang lelaki bernazar, “Kalau aku dapat anak, aku akan bersilat di atas pokok kelapa.” Dengan takdir Allah, dia dikurniakan anak.
Namun, kini pening pula memikirkan bagaimana dia hendak bersilat di atas pokok kelapa yang tinggi dan licin! Jadi, dia berjumpa lagi dengan seorang alim, yang berkata, “Mudah sahaja, ambil pokok kelapa yang baru tumbuh, dan bersilatlah di atasnya.” Lelaki tersebut pun terlepas dari nazarnya.
Nazar adalah ikatan yang perlu difikirkan dengan teliti, kerana apabila ia telah disebut, ia menjadi satu tanggungjawab. Sebab itulah, kita perlu berhati-hati apabila bernazar, pastikan ia sesuatu yang kita mampu tunaikan agar tidak membebankan diri di kemudian hari. – HARAKAHDAILY 11/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















