Kerajaan Madani tidak serius tangani isu LGBT

- Advertisement -

KOTA BHARU: Golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dianggap semakin berani menganjur program secara terbuka di negara ini kerana sikap tidak serius Kerajaan Madani.

- Advertisement -

Pada 22 November 2023 konsert artis yang dikatakan menyokong LGBT dibiarkan menganjurkan persembahan di negara ini, apabila konsert Coldplay diadakan Stadium Nasional Bukit Jalil biarpun pelbagai pihak membantah.

Terbaharu pula Larian Pan Asia Antarabangsa 2024 yang dipenuhi penampilan imej dan mesej LGBT oleh para pesertanya dibiarkan berlangsung di Kota Tinggi, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Rohani Ibrahim berkata, ruang yang dibuka Kerajaan Madani memberi peluang pihak tidak bertanggungjawab menganjurkan program sedemikian.

Menurutnya, tidak dinafikan LGBT semakin tersebar luas dan Malaysia kerana tiada tindakan tegas kerajaan.

“Ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, program melibatkan LGBT disekat, tiada ruang untuk hiburan yang ada kaitan dengan LGBT.

“Lihat apa sudah belaku sekarang dunia luar perhati Malaysia juga seperti sebahagian negara yang menyokong LGBT,” katanya di sini.

Baru-baru ini tular di _Facebook_ group komuniti Khas Penduduk Kota Tinggi perkongsian video dan gambar-gambar larian golongan LGBT berhampiran sebuah hotel dekat Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

Larian itu turut disertai pelancong-pelancong asing yang berpakaian tidak senonoh dan seolah-olah mempromosi LGBT.

Rohani yang juga ADUN Tanjong Mas berharap kerajaan mengambil sikap lebih serius untuk menyekat program atau aktiviti yang tidak sihat apa lagi cenderung ke arah LGBT. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -