Isu warga China masuk belum selesai, kini tentera

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Isu kemasukan beramai-ramai rakyat China ke Malaysia tanpa rekod keluar, masih menjadi misteri dan belum terjawab, kini sekali lagi, rakyat negara ini dikejutkan dengan kehadiran kapal Tentera Laut China, di pelabuhan Pulau Pinang, Sabtu lalu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS  Pulau Pinang, Ibrahim Ani berkata, walaupun orang ramai diminta jangan menimbulkan apa-apa spekulasi berkenaan isu tersebut, namun insiden itu mengundang rasa kurang senang ramai pihak.

“Spekulasi dan persoalan yang berkait dengan negara China sebelum ini pun masih belum terjawab, ini ditambah dengan isu baharu pula. Perkara ini sangat membimbangkan penduduk pribumi tanah air ini,” katanya  pada kenyataan, hari ini.

Tegas Ibrahim, sebelum ini, majlis penerangan kewarganegaraan oleh Ahli Parlimen Bagan, turut menjadi tanda tanya dan kerisauan rakyat jelata khususnya di Pulau Pinang.

Kini muncul pula kapal perang China yang difahamkan membawa ratusan armada negara tersebut dan sudah tentulah pelbagai andaian berlegar dipemikiran orang ramai.

“Persoalan besar yang timbul, apakah rakyat China yang masuk ke negara ini telah diberikan keizinan untuk menjadi warganegara tetap Malaysia? Jika itu berlaku ia suatu pencabulan terhadapan kedaulatan negara.

“(Dan) apakah kepentingan tentera-tentera China itu dilayan bagaikan wira negara dengan mereka dibawa menziarahi sebuah sekolah Cina di Pulau Pinang?” soal beliau lagi.

Katanya lagi, perkara itu boleh dianggap satu provokasi atau penghinaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana sebelum ini belum kedengaran ATM dijemput masuk ke sekolah bertemu dengan para pelajar, melainkan urusan seperti mengurus bencana, misi kemanusiaan dan lain-lain.

Justeru katanya, Menteri Pertahanan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menjelaskan secara terperinci apakah  motif dan tujuan persinggahan Kapal Perang China di Pulau Pinang itu.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang mengharapkan pemimpin berkenaan jangan berdiam diri dan menyembunyikan hal yang sebenar apatah lagi isu ini berkait dengan maruah kedaulatan negara,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 11/10/2024

- Advertisement -