
AYER KEROH: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menzahirkan rasa hairan atas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang cuba melindungi tindakan Sekolah Menengah Swasta Chung Ling di Air Itam, Pulau Pinang.
Menurut beliau, ia susulan sekolah swasta aliran Cina itu telah menerima kehadiran sejumlah 165 kadet kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) pada Sabtu lalu.
Dua kapal People’s Liberation Army Navy (PLAN) Qi Jiguang dan kapal Jinggang Shan membuat ‘port-call’ di pelabuhan Pulau Pinang pada 10 Oktober 2024 yang lalu.
“Menurut kenyataan YB Fadhlina, lawatan berkenaan hanyalah aktiviti pertukaran budaya antara dua kelompok atau kumpulan pelajar iaitu pelajar dari China’s University of Naval Engineering Academy.
“Dengan pelajar Sekolah Menengah Swasta Chung Ling sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China. Kenyataan ini tidak benar, kerana 165 orang kadet PLAN dari kapal Qi Jiguang ini adalah mereka dalam proses dan tempoh peralihan.
“(Iaitu) untuk menjadi kelasi penuh tentera laut PLAN China dan bukanlah pelajar universiti seperti yang dinyatakan oleh YB Fadhlina,” katanya.
Jelas Mas Ermieyati, ianya seakan sama seperti anak-anak kapal KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjalani latihan untuk menjadi kelasi penuh TLDM.
“Selain itu, saya juga ingin menarik perhatian umum bahawa sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia-China disambut pada 31 Mei 2024 manakala sambutan kejayaan revolusi Komunis China di sambut pada 1 Oktober 2024.
“Apakah lawatan ini dibuat sempena sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia dan China atau sempena sambutan revolusi Komunis China sekaligus meraikan penubuhan RRC?” soalnya.
Beliau menyatakan perkara ini dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman _Facebook_ rasminya sebentar tadi.
Tegasnya, tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sekolah itu membuat sambutan besar-besaran menerima kunjungan kadet dan kelasi kapal Qi Jiguang dan Jinggang Shan ini adalah bukti kecuaian pihak kerajaan negeri.
Menurut beliau, ia menunjukkan bahawa mereka tidak sensitif terhadap situasi integriti kedaulatan maritim dan tuntutan bertindih yang dibuat oleh RRC di Luconia Shoals atau gugusan Beting Patinggi Ali (BPA) yang terletak 84 batu nautika dari pesisir pantai Sarawak.
“Saya mahu bertanya, apakah sewaktu aktiviti pertukaran budaya yang dibuat di Sekolah Menengah Swasta Chung Ling, kadet-kadet PLAN ini ada menekankan bahawa Laut China Selatan merupakan wilayah laut mereka di bawah ‘nine-dash line’?
“Saya juga ingin bertanya apakah pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) maklum berkenaan aktiviti ‘port call’ yang dibuat oleh PLAN Task Group 83 di Pulau Pinang?
“(Apakah MKN) memantau secara dekat sambutan luar biasa yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kadet dan kelasi PLAN China ini?” soalnya.
Beliau dalam kenyataan itu turut membangkitkan persoalan terhadap rasional pihak Kerajaan Negeri yang membuat sambutan luar biasa kepada kepimpinan dan kadet serta kelasi kapal Qi Jiguang dan Jinggang Shan pada 10 Oktober 2024 itu.
“Apakah sambutan sama diberikan oleh Kerajaan Pulau Pinang kepada anggota tentera negara rakan strategik Malaysia di bawah Five Power Defence Arrangement (FPDA)?
“(Iaitu) sewaktu mereka melaksanakan eksesais bersama Shield dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada bulan Mei tahun ini di Pulau Pinang?” soalnya lagi dalam kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 11/10/2024











