
KUALA LUMPUR: “Pasangan suami isteri yang memilih untuk bercerai dinasihatkan agar tidak menceritakan keburukan pasangan masing-masing kepada umum.”
Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, perkara itu termasuklah hal-hal terperinci seperti ketidakcukupan nafkah, kekurangan fizikal, prestasi seksual dan layanan dalam hal-hal keintiman kerana ia merupakan aib yang perlu disembunyikan.
“Tiada faedahnya didedahkan kepada umum kerana sebahagian besar perkara-perkara di atas adalah bersifat subjektif.
“Mungkin apa yang dianggap sebagai kekurangan bagi anda sebenarnya tidak sebegitu bagi orang lain.

“Anda mungkin tidak bahagia dengan pasangan (suami atau isteri), namun jika ditakdirkan berjodoh dengan orang lain, tentu keadaan akan berbeza,” katanya dalam satui kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, hubungan itu masih dikira suami isteri yang boleh merujuk semula perkahwinan tanpa akad baharu ketika dalam tempoh idah penceraian raj’iyy (talak satu atau dua).
“Maka kerana itu, sedikit sisa perkahwinan terdahulu masih berbaki. Dalam tempoh idah masih berjalan, pihak wanita terutamanya masih bergelar ‘isteri’.
“Lelaki masih berhak merujuk kepada isterinya,” katanya.

Tambah beliau, perceraian sepatutnya berakhir dengan saling memohon kemaafan atas pelbagai kekurangan terdahulu, serta tidak melupakan untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada bekas pasangan masing-masing di atas pengorbanan dan ihsan yang dilakukan.
“Dahulu, kedua-duanya menerima kelemahan pasangan masing-masing sebelum berkahwin, justeru hadapilah dengan kesabaran. Banyak lagi kebaikan-kebaikan yang dibuat oleh pasangan anda.
“Kenangilah ia dan syukurilah kerana ramai lagi pasangan yang kekal bahagia dengan pelbagai kekurangan yang ada.
“Sebab itu, marah dan cinta biarlah berpada-pada. Mana tahu, pada satu hari nanti keretakan yang terjadi pada hari ini akan kembali berkasih sayang semula. Ia bukan satu kesalahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2024











