Nama mainkan peranan penting dalam hidup

- Advertisement -

NAMA Imran berasal dari bahasa Arab dan datang dari keturunan yang mulia. Beliau berkhidmat di Masjid Baitulmaqdis, dan isterinya, Hannah, ketika itu sedang mengandung.

Hannah bernazar dengan satu harapan besar – mengimpikan seorang anak lelaki yang bakal berbakti di masjid. Cita-citanya ialah untuk menyerahkan anaknya ke pondok bagi berkhidmat di rumah Allah.

- Advertisement -

Dalam konteks ini, “pondok” merujuk kepada suatu tempat khusus di Masjid Baitulmaqdis, seakan pusat pengajian atau sekolah pondok yang kita kenal sekarang. Maka, dia berdoa dengan penuh harapan kepada Allah, agar niatnya itu terlaksana.

Namun, setelah tiba masa kelahiran, Hannah dikurniakan seorang anak perempuan! Ketika itu, biasanya hanya anak lelaki yang dihantar ke pondok kerana tanggungjawab yang berat, termasuk soal penjagaan aurat dan kesesuaian tugas di masjid.

Dengan rasa sedikit kecewa, Hannah berkata, “Wahai Tuhanku, aku melahirkan anak perempuan.” Tetapi, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Dia tahu lelaki dan perempuan itu berbeza dan masing-masing ada kelebihan tersendiri (Surah Ali ‘Imran, 36).

Zaman itu tidak seperti sekarang; tiada alat canggih untuk mengetahui jantina bayi lebih awal. Semua bergantung kepada ketentuan Allah, dan keajaiban alam semula jadi.

Jadi, Hannah merasa sedikit serba salah. Dia telah berniat menyerahkan anaknya kepada khidmat di masjid, namun takdir memberikan anak perempuan. Walaupun begitu, Hannah menerimanya dengan penuh rasa syukur.

Dia menamakan anaknya Maryam – yang dalam bahasa Inggeris disebut Mary, dan orang kita pula sering menyebutnya sebagai Meriam. Nama ini sebenarnya sangat mulia dan membawa makna besar.

Nama memainkan peranan yang penting dalam hidup seseorang. Rasulullah pernah menukar nama beberapa sahabat yang membawa maksud tidak baik atau kurang elok. Mengapa? Kerana nama itu ibarat doa.

Setiap kali kita memanggil seseorang, kita seperti mendoakannya. Contohnya, nama Hasan, yang bermaksud ‘baik’ atau ‘molek’. Bila kita selalu menyebut nama itu, kita seolah-olah sedang mendoakan agar orang itu sentiasa dalam kebaikan dan keelokan akhlaknya.

Orang Melayu sekarang kadang-kadang kurang ambil kisah tentang maksud di sebalik nama. Dahulu, mungkin ada nama-nama yang unik kerana kekurangan ilmu.

Namun kini, kita sudah boleh memilih nama yang baik, pendek, dan bermakna. Jangan pula terlalu panjang – kasihanlah pada datuk dan nenek yang memanggil cucu-cucu dengan nama yang sukar!

Lihat saja orang Arab, nama mereka sederhana: biasanya tiga perkataan yang menyambungkan nama anak, nama ayah, dan nama datuk. Ringkas, namun penuh makna. – HARAKAHDAILY 10/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -