
KUALA LUMPUR: Hari ini, 7 Oktober 2024, genaplah setahun sejak bermulanya Operasi Taufan al-Aqsa yang telah menyaksikan perjuangan gigih rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah suci mereka dari penindasan rejim Zionis Israel.
Yang Di-Pertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dato’ Wan Mohamad Syeikh Abd Aziz berkata, kesempatan itu diambil untuk mengimbau semula detik bersejarah tersebut.
Beliau juga mengajak seluruh umat Islam serta masyarakat antarabangsa bagi memperkukuhkan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus berhadapan dengan penjajahan dan kezaliman yang berpanjangan.
“Operasi Tufan al-Aqsa, yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap tindakan kejam Zionis yang mencabul hak-hak rakyat Palestin dan kesucian Masjid al-Aqsa.
“(Ia) telah membawa mesej jelas bahawa perjuangan demi keadilan, kebebasan, dan kemuliaan tanah suci itu masih belum selesai.
“Meskipun menghadapi tentangan yang besar, keberanian dan pengorbanan rakyat Palestin menjadi simbol ketabahan yang patut diteladani oleh seluruh umat Islam dan mereka yang mencintai keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Mohamad menegaskan bahawa apa yang berlaku di Palestin bukan sekadar isu politik, tetapi ia merupakan persoalan akidah dan hak asasi manusia.
Menurutnya, Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam dan memerlukan penjagaan serta perlindungan daripada sebarang ancaman yang cuba mengubah status quo atau menjejaskan kesuciannya.
“Kami menyeru agar seluruh umat Islam di Malaysia terus memainkan peranan aktif melalui doa, bantuan kemanusiaan, dan penyebaran kesedaran mengenai situasi sebenar yang berlaku di Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa sebarang usaha untuk mengabaikan penderitaan rakyat Palestin adalah bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat dan prinsip keadilan yang dianjurkan dalam Islam.
Sehubungan itu, PUM mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk penjajahan, penindasan, dan tindakan ketenteraan yang melanggar hak asasi manusia yang telah dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Pada kesempatan ini, PUM juga menyeru kepada masyarakat antarabangsa, terutama negara-negara Islam, supaya bersatu dalam tindakan yang lebih tegas dan bersepadu untuk menamatkan penjajahan yang kejam ini.
“Kami percaya bahawa dengan bersatu, kita mampu memberi tekanan yang lebih berkesan kepada pihak-pihak yang berkuasa agar hak-hak rakyat Palestin dikembalikan dan keadilan ditegakkan di bumi al-Quds,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, PUM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam memperingati setahun Operasi Tufan al-Aqsa itu dengan meningkatkan kesedaran dan usaha dalam membela Masjid al-Aqsa dan Palestin.
“Semoga Allah SWT memberikan kemenangan kepada saudara-saudara kita di Palestin dan mengurniakan kekuatan kepada mereka yang terus berjuang untuk keadilan dan kebenaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024











