Afnan bantu bina semula surau berusia 174 tahun

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar komited berusaha menyambung kerja pembinaan semula Surau Kampung Hilir, Seberang Perak yang tergendala sebelum ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azzamuden berkata, permohonan untuk membina semula surau itu telah dibuat oleh warga Kampung Hilir, empat tahun lalu iaitu pada 2020.

“Tetapi disebabkan Covid-19 sedang melanda ketika itu, pembinaan semula surau itu tergendala dan dihentikan,” jelas beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Jelas Afnan, sebelum ini penduduk kampung berkenaan datang ke pusat khidmatnya, memohon agar pembinaan semula yang tergendala itu diteruskan.

“Alhamdulillah, setelah aduan diterima dan pertemuan bersama pihak dan agensi berkaitan diadakan, pembinaan semula surau ini boleh dimulakan semula.

Surau Kampung Hilir berkenaan dibina sekitar tahun 1850-an dan berusia kira-kira 174 tahun.

Berikutan usianya agak lama, terdapat bahagian di dalam surau berkenaan yang rosak dan perlu diganti serta dibina semula.

Dalam masa yang sama, surau tersebut juga kerap kali dijadikan pusat aktiviti seperti program maulidurrasul, sambutan awal Muharram dan lain-lain oleh penduduk setempat.

“Saya juga berbangga dengan semangat Jawatankuasa Surau Kampung Hilir, termasuk pihak Masjid Darul Ehsan yang tidak berputus asa dalam usaha pengimarahan surau yang menjangkau 200 tahun ini,” tegas Afnan lagi. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

- Advertisement -