
KULAI: Seorang jurutera mengalami kerugian sebanyak RM102,408 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud atau hantu yang dikenali sebagai L-Trader.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Polis (SUPT) Tan Seng Lee, berkata lelaki berusia 25 itu telah berminat untuk membuat pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak 10 peratus dalam tempoh yang terdekat.
“Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi L-Trader milik mangsa.
“Tertarik dengan keuntungan yang telah dijanjikan, mangsa telah membuat 17 kali transaksi pembayaran berjumlah RM102,408 ke dalam enam akaun bank tempatan bermula dari tarikh 31 Julai 2024 sehingga 28 September 2024.
“Mangsa juga telah membuat semakan pada akaun L-Trader miliknya dan mendapati keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak RM1,620,374.05,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Seng Lee berkata, mangsa cuba mengeluarkan wang tersebut dalam akaun itu dan didapati akaunnya telah pun disekat.
“Mangsa yang mengesyaki dirinya telah ditipu datang balai buat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud,” katanya.
Justeru, pihak polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan khidmat atas talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline dan Semak Mule.
“Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan info terkini berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2024











