Dr Aliakbar dianugerah gelaran Datuk

Datuk Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, hari ini.

Beliau adalah antara enam ADUN Sabah, termasuk dua berjawatan Pembantu Menteri tersenarai menerima darjah kebesaran PGDK itu yang membawa gelaran Datuk.

Selain beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, timbalannya, Dr Mohd Afifi Shaiffuddin, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norjanah JamJam, Yang Dipertua PAS kawasan termasuk guru PASTI turut menerima anugerah.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Libaran, Abdul Wahid Mohd Rafi menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu, Dr Mohd Afifi (Ahli Darjah Kinabalu), Norjanah (Bintang Setia Kinabalu), Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Kinabalu, Mohd Tarmizi Mohd Yahya (Bintang Kinabalu) dan guru PASTI, Norlayla Abdul Rahim (Pingat Perkhidmatan Terpuji).

Secara keseluruhan seramai 87 individu menerima PGDK, manakala seramai 116 orang menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), diikuti 274 orang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), seramai 320 orang menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 421 orang menerima Bintang Kinabalu (BK), 144 orang menerima seramai 144 menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) manakala 10 orang menerima Jaksa Pendamai.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Aliakbar atas pengurniaan Darjah Kebesaran tersebut.

“Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada beberapa orang pimpinan PAS Sabah lain yang turut menerima Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena hari kebesaran ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mustaman mewakili PAS Sabah juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin atas penganugerahan itu yang disifatkannya sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan PAS.

“Semoga dengan pengiktirafan ini akan menguatkan lagi semangat seluruh ahli PAS Sabah untuk sentiasa prihatin dan proaktif memelihara kepentingan serta kebajikan rakyat di semua peringkat,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 5/10/2024

- Advertisement -