
BANGI: Selangor merupakan sebuah negeri yang kaya dan maju, justeru rakyat berhak mendapat yang lebih baik.
Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri berkata sebagai contoh, setelah pelbagai program dijalankan oleh pihak kerajaan, tetapi isu fundamental masih belum selesai, seperti banjir.
“Banjir masih berlaku. Semalam saja, kawasan-kawasan seperti Sungai Buloh, Paya Jaras, Ijok, Selayang, Gombak, Shah Alam, dan Jalan Kebun mengalami banjir,” kata beliau yang juga ADUN Paya Jaras.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Ke-70 peringkat Negeri Selangor di Bangi Convention Center, di sini hari ini. (Foto atas)
Program tersebut dimulakan dengan ucaptama Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, diikuti Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, yang membincangkan langkah-langkah tindakan yang akan diambil.
Dalam pada itu, DR Halim mempersoalkan bagaimana isu-isu asas seperti banjir itu tidak dapat diselesaikan walaupun dikatakan sebagai sebuah negeri maju.
Beliau berkata, ia mungkin berkaitan dengan bajet dari kerajaan negeri dan pusat dan oleh itu kerajaan Malaysia diseru supaya menyegerakan projek tebatan banjir, khususnya di Sungai Buloh.
Menurutnya, projek rancangan tebatan banjir itu perlu segera dilaksanakan kerana impaknya besar terhadap masyarakat seperti hujan yang turun beberapa kali menyebabkan Sungai Buloh mudah melimpah.
“Pada pandangan saya, masalah asas seperti parit, longkang, sungai, dan sampah sepatutnya bukan lagi menjadi isu.

“Sebab itu saya tekankan, ‘Selangor deserve better’. Rakyat Selangor berhak mendapat yang lebih baik.
“Jadi saya menyeru kepada kerajaan pusat, negeri Selangor dah buat proposal kepada pihak kerajaan pusat untuk membuat rancangan tebatan banjir RTB Sungai Buloh yang berjumlah lebih daripada RM700 juta.
“Saya berharap agar projek ini dapat disegerakan kerana ia memberi impak besar kepada rakyat, terutamanya kepada mereka yang berpendapatan rendah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/10/2024











