
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan bahawa pendigitalan merupakan kunci kepada transformasi ekonomi negara.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada majlis penutupan Forum Ekonomi Digital ASEAN (ADEF) 2024 yang diadakan di sini semalam.
Dalam forum yang dianjurkan oleh Chartered Institute of Digital Economy dan Dewan Perniagaan Ekonomi Digital Malaysia itu, lebih 200 peserta antarabangsa berkumpul untuk membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi digital, termasuk keusahawanan, inovasi digital, keselamatan siber, dan perlindungan data.
Muhyiddin, yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri Kelapan, berkongsi pengalamannya mengenai bagaimana ekonomi digital menjadi salah satu agenda utama semasa pemerintahannya.
Beliau menekankan bahawa pendigitalan membuka ruang untuk pertumbuhan perniagaan dan penciptaan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.
“Kerajaan Perikatan Nasional telah memperkenalkan inisiatif MyDIGITAL untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi melalui pendigitalan dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif MyDIGITAL jelas beliau bertujuan untuk meningkatkan literasi digital rakyat, menyediakan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi, serta memastikan kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar dalam perniagaan.
Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan menganjurkan forum ini, dan percaya bahawa para peserta telah memperoleh pengalaman berharga serta pemahaman yang lebih mendalam tentang landskap perniagaan digital dalam situasi yang mencabar. – HARAKAHDAILY 4/10/2024











