GAMIS dakwa minggu orientasi berlaku perlanggaran moral

Imran Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Minggu orientasi seharusnya menjadi sebuah pengalaman yang berharga bagi setiap pelajar yang baru sahaja berjaya memasuki alam universiti.

- Advertisement -

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman berkata, pada masa kini kelihatan kebanyakan minggu orientasi di sesetengah universiti telah mula dicemari dengan sesetengah program dan slot yang menunjukkan berlakunya perlanggaran moral dengan wujudnya aksi yang kurang sopan di khalayak ramai.

“Tambahan pula, sesetengah aksi ini telah dipaparkan secara atas talian di media sosial,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial Facebook GAMIS, hari ini.

Beliau berkata, GAMIS mencadangkan beberapa tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu itu.

Pertama, ujarnya setiap pihak pentadbiran di universiti perlu memastikan setiap program yang dijalankan sentiasa mematuhi syariah dan menjaga batas-batas hubungan antara peserta lelaki dan perempuan.

“Selain itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama semua kelab dan persatuan di kampus perlu berperanan sebagai tukang semak dan imbang jika terdapat program universiti yang telah melanggar piawaian syariah sebagai seorang Muslim,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/10/2024

- Advertisement -