
MANUSIA ini hakikatnya berada dalam genggaman Allah. Allah mampu menghidupkan sesiapa yang Dia kehendaki dan mematikan siapa saja yang Dia mahu. Kita semua asalnya tiada, namun Allah jadikan kita ada, hidup di dunia buat sementara waktu.
Namun, bila tiba masanya, nyawa kita pasti dicabut dan kita akan kembali ke tempat asal. Tapi ingat, kehidupan tidak terhenti di situ. Kita akan dibangkitkan semula di akhirat, untuk menempuhi satu lagi fasa yang kekal.
Mari kita lihat satu kisah yang berlaku di zaman Nabi Ibrahim, di mana baginda berhadapan dengan seorang raja yang sangat angkuh. Kisah ini disebut dalam ayat 258, Surah al-Baqarah, yang menceritakan tentang raja Namrud yang sombong.
Bayangkan, ketika Nabi Ibrahim berdakwah kepada kaumnya di Babylon, beliau berdepan dengan kuasa besar pada zaman itu. Namrud adalah raja pertama bagi masyarakat Babylon, yang berasal dari Iraq, berhampiran dengan Palestin.
Nabi Ibrahim membawa agama Tauhid, agama yang mengajarkan bahawa hanya Allah yang berhak disembah. Ajarannya ini bertentangan dengan kepercayaan masyarakat pada waktu itu, termasuk raja mereka sendiri, Namrud. Maka, mulalah perdebatan antara Nabi Ibrahim dan raja yang zalim ini.
Dalam peristiwa yang masyhur ini, setelah Nabi Ibrahim memecahkan berhala-berhala yang disembah oleh kaumnya, Namrud bertanya kepada baginda mengenai Tuhannya.
Nabi Ibrahim menjawab, “Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.” Namrud, dalam keangkuhannya, berkata, “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.”
Bagaimana Namrud ‘menghidupkan dan mematikan’? Dia memerintahkan agar dua orang tahanan dibawa kepadanya. Seorang tahanan dibunuh atas arahannya, manakala seorang lagi dibebaskan. Lalu, dengan penuh kesombongan, dia berkata bahawa dia juga boleh mematikan dan menghidupkan manusia. Lihatlah, betapa ceteknya cara pemikirannya. Dia menyamakan tindakan zalimnya itu dengan kuasa Allah yang mutlak.
Namun, Nabi Ibrahim tidak berhenti di situ. Baginda terus mencabar Namrud dengan berkata, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur. Maka, cubalah kamu terbitkan ia dari barat!” Tercenganglah Namrud, diam membisu tanpa mampu menjawab.
Kisah ini adalah bukti bahawa manusia, walau sehebat mana pun kedudukannya, tetap tidak berdaya menandingi kekuasaan Allah. Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim, seperti Namrud.
Raja Namrud ini, walaupun mungkin kurang dikenali berbanding Firaun, adalah tokoh yang sama angkuh dan zalim. Kisah ini berlaku lebih awal daripada zaman Firaun, sekitar 2000 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa. Namrud dan Firaun, dua pemerintah yang memerintah dengan kuku besi, namun akhirnya mereka tunduk kepada ketetapan Allah yang Maha Berkuasa.
Perbahasan ini jelas menunjukkan bagaimana akal manusia berfungsi, terutama bila berdepan dengan sesuatu yang melampaui batas pemikirannya. Nabi Ibrahim, sebagai seorang nabi, berbicara dengan ketinggian akal dan hikmah, lebih jauh dari akal biasa manusia.
Baginda menjelaskan bahawa Tuhannya adalah yang menentukan hidup dan mati, menghidupkan makhluk dan mematikannya. Maksudnya, nyawa manusia sepenuhnya berada dalam ketetapan Allah. Bukannya kita yang menentukannya.
Kita lihat dalam kehidupan sehari-hari, banyak contoh yang membuktikan hakikat ini. Misalnya, orang yang terlibat dalam kemalangan. Kadang-kadang, kita saksikan kereta hancur remuk, tetapi pemandunya keluar tanpa cedera serius.
Ada yang jatuh ke dalam gaung, kereta musnah, tetapi pemandu boleh merangkak keluar dengan hanya mengalami luka ringan. Peristiwa-peristiwa ini menjadi bukti bahawa ajal maut kita bukan di tangan manusia, bukan juga berdasarkan situasi luaran, tetapi berada sepenuhnya dalam kuasa Allah.
Begitu juga ada orang yang dipukul hingga tidak sedarkan diri, tetapi selepas mendapat rawatan, dia kembali sihat. Ini semua menunjukkan bahawa kita, manusia, tiada kuasa untuk menentukan hidup atau mati. – HARAKAHDAILY 4/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















