
PULAU PINANG: Program Ujian saringan HPV PCR percuma akan diberikan kepada para wanita yang tinggal di negeri ini bermula 5 dan 6 Oktober di dua lokasi terpilih.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berkata, kanser serviks adalah kanser ketiga paling tinggi dihidapi oleh wanita di negara ini yang membabitkan 12 peratus daripada semua kanser selepas kanser payudara dan usus besar.
Katanya, kajian yang dilakukan mendapati seramai 604,000 wanita di Malaysia telah diserang kanser serviks dan mengakibatkan kematian 342,000 pesakit di seluruh dunia.
Beliau turut memberitahu, program yang dilaksanakan ini adalah melalui kerjasama Pusat Khidmat Adun Penaga bersama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) bagi membantu mencegah kanser ini terus merebak dalam kalangan wanita di negara ini.
“HPV PCR ialah pengesanan awal kanser pangkal rahim (kanser serviks) dan kelebihan saringan serviks HPV ROSE adalah untuk mengesan risiko kanser serviks.
“Kaedah yang digunakan adalah melalui pensampelan kendiri (tanpa menggunakan mulut itik/spekulum). Para wanita hanya perlu melakukan sekali bagi tempoh 5 hingga 10 tahun.
“Setelah membuat ujian saringan HPV PCR, keputusan akan dihantar melalui SMS/WhatsApp kepada peserta,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya.
Mastura berkata, antara kriteria kelayakan adalah warganegara Malaysia (keutamaan kepada golongan B40); berumur 30 hingga 65 tahun; tidak pernah menjalani pembedahan buang rahim; tidak mengandung; tiada aliran haid yang berat semasa hari saringan; tidak pernah menjalani ujian HPV sepanjang 5 tahun yang lepas dan tidak pernah menjalani ujian HPV ROSE.
Sehubungan itu, beliau turut berkata suntikan vaksin HPV pada 5 Oktober (Sabtu) akan diadakan di Pusat Khidmat Adun Penaga, bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.
“Sekiranya para peserta tidak dapat mengikuti saringan pada 5 Oktober, para peserta juga boleh hadir pada 6 Oktober bertempat di Surau Pinggiran Bertam Perdana, bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.
Tambahnya lagi, mereka yang belum lagi menerima suntikan HPV, boleh membuat semakan syarat kelayakan melalui Google Form dengan mengesan QR code yang diberikan di https://forms.gle/TeEgxB77oKBv3Z817.
Sebarang pertanyaan sila hubungi di talian: 011-53334048 (Cik Izzah).
Beliau turut menasihatkan agar semua wanita diluar sana sentiasa cakna dan mementingkan aspek kesihatan diri masing-masing. – HARAKAHDAILY 3/10/2024











