
KUANTAN: Jabatan Amal Malaysia Kawasan Indera Mahkota sekali lagi membuktikan komitmen dalam membantu masyarakat apabila empat anggotanya tampil membantu sebuah keluarga yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota, Ustaz Mohd Hafizuddin Mohd Ramzan, menceritakan detik-detik bantuan yang diberikan oleh anggota Jabatan Amal selepas mereka selesai menghadiri usrah dan mesyuarat di Markas PAS Balok.
Menurutnya, dalam perjalanan pulang ke Sungai Ular, mereka terserempak dengan sebuah keluarga yang kemalangan dan segera memberikan bantuan.
“Empat orang sahabat Jabatan Amal membantu mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. Mereka juga menghantar keluarga tersebut ke terminal bas, tetapi malangnya, bas yang mereka rancang untuk naiki telah bergerak.
“Melihat situasi itu, Setiausaha Jabatan Amal Malaysia Indera Mahkota menawarkan kereta Saganya untuk digunakan oleh keluarga tersebut agar mereka dapat menghantar anak mereka ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pagi tadi,” kata Hafizuddin. (Foto atas)
Tambah beliau, bantuan itu diberikan tanpa mengharapkan balasan atau pujian, sejajar dengan prinsip Jabatan Amal yang sentiasa ditarbiah untuk membantu masyarakat dalam apa jua keadaan.
“Alhamdulillah, ibu bapa tersebut berjaya menghantar anak mereka ke USIM dengan selamat,” ujarnya lagi.
Tindakan mulia itu katanya sekali lagi membuktikan bahawa Jabatan Amal sentiasa bersedia untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan, tanpa mengira waktu atau keadaan.
“Semoga Allah merahmati semua yang terlibat,” kata beliau.
Terdahulu, dilaporkan akhbar tempatan mengenai sepasang suami isteri, Hasnizaa Seman dan Zaimuddin Hassan, yang mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar anak sulung mereka, Hariz, untuk mendaftar di USIM.
Mereka dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, yang menyebabkan kereta mereka tidak dapat bergerak.
Walaupun terkejut dengan insiden itu, mereka bersyukur kerana seorang lelaki bernama Azli Shah menawarkan keretanya untuk dipinjam, membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke USIM.
Hasnizaa menyatakan rasa syukur dan terharu kerana dapat sampai ke universiti dan memastikan Hariz merasai pengalaman dihantar ke universiti seperti pelajar lain.
Hariz juga menunjukkan semangat positif walaupun menghadapi cabaran, bertekad untuk belajar dengan bersungguh-sungguh di USIM.
Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani, turut melawat keluarga tersebut dan pegawai perubatan memberikan rawatan awal kepada mereka. – HARAKAHDAILY 3/10/2024











