
DALAM peperangan yang menentukan, dengan izin Allah, tentera Talut berjaya menumpaskan tentera Jalut. Salah satu tokoh penting dalam kemenangan ini ialah Nabi Daud, yang pada waktu itu masih muda, sekitar belasan tahun.
Walaupun Nabi Daud bukan seorang askar, beliau hadir dalam pertempuran hanya berbekalkan lastik. Ramai yang tidak berani mendekati Jalut kerana ketakutan akan kekuatannya, tetapi Nabi Daud, dengan keberanian dan kelebihan yang dimilikinya, mampu menghadapi musuh yang kuat itu.
Dengan tiga biji batu yang dilastiknya, Nabi Daud mengenai Jalut di bahagian dahi dan dadanya, menyebabkan gergasi itu jatuh dan mati. Menurut riwayat, setiap lontaran lastik Nabi Daud disertai dengan bacaan doa tertentu. Setelah Jalut tewas, tentera musuh kehilangan pemimpin dan menyerah kalah, memberi kemenangan kepada pasukan Talut.
Setelah peperangan tamat dan mereka pulang ke kampung, Raja Talut tertarik dengan keberanian dan kehebatan Nabi Daud. Baginda, yang masih muda ketika itu, berjaya membunuh musuh paling berbahaya dalam peperangan. Akhirnya, Raja Talut mengambil Nabi Daud sebagai menantunya. Apabila Talut wafat, Nabi Daud menggantikan baginda sebagai raja.
Nabi Daud bukan sahaja seorang raja tetapi juga seorang nabi yang sangat bijaksana. Dengan hikmah yang diberikan Allah, baginda mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyatnya. Salah satu kelebihan besar yang dimiliki Nabi Daud ialah suaranya yang sangat merdu.
Dikatakan, apabila baginda membaca kitab Zabur yang penuh dengan doa dan zikir, burung-burung yang terbang akan berhenti di dahan pokok, mendengarkan bacaan baginda. Suaranya sangat memukau hingga seluruh alam terdiam mendengarnya.
Selain suara merdu, Nabi Daud juga diberi kelebihan untuk melembutkan besi dengan tangannya. Walaupun baginda seorang raja, Nabi Daud tidak segan bekerja, malah baginda membuat baju besi untuk peperangan dengan tangannya sendiri.
Nabi Daud mempunyai banyak kelebihan, dan setelah baginda meninggal dunia, anaknya Nabi Sulaiman menggantikannya sebagai raja. Nabi Sulaiman lebih hebat dan bijaksana, bahkan dianugerahkan kuasa yang lebih besar oleh Allah.
Kisah ini menunjukkan bagaimana Talut memulihkan kekuatan Bani Israel dan bagaimana Nabi Daud dan Nabi Sulaiman meneruskan kerajaan tersebut. Palestin menjadi jajahan takluk Bani Israel pada masa itu, dan kisah Nabi Daud serta Nabi Sulaiman masih menjadi kebanggaan kaum Yahudi hingga kini.
Malah, Bintang Nabi Daud yang menjadi lambang dalam bendera Israel hari ini membawa makna sejarah yang mendalam. Temple of Solomon di Baitul Maqdis adalah simbol penting dalam sejarah mereka, dan inilah sebab mengapa bangsa Yahudi hingga ke hari ini sangat berkeinginan untuk menguasai seluruh bumi Palestin.
Kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman di Baitul Maqdis terus menjadi sejarah yang dipegang erat oleh orang Yahudi, dan perjuangan mereka untuk menakluk Palestin berakar daripada sejarah ini. – HARAKAHDAILY 3/10/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















