Disember ini genap 10 tahun bah besar landa Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan masih ingat kira-kira 10 tahun lalu kawasan hulu dilanda mini tsunami sehingga menyebabkan ribuan rumah penduduk rosak dan dihanyut arus.

Lebih mendebarkan lagi ada jambatan runtuh termasuk di Setelu, Gua Musang dan jambatan kereta api di Kampung Kemubu, Kuala Krai.

Antara lokasi yang terjejas teruk Kampung Manek Urai Lama, Kampung Pemberian di Kuala Krai dan Pasir Tumboh di Gua Musang.

- Advertisement -

Tragedi itu berlaku pada akhir 2014. Dan akhir tahun ini genap 10 tahun bah besar melanda hulu Kelantan.

“Kelantan mengambil langkah bersedia bagi situasi buruk dengan membuat persiapan menghadapi bencana banjir.

“Kata orang tua-tua banjir besar berlaku setiap 10 tahun sekali di Kelantan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim.

Sehubungan itu katanya kerajaan negeri akan menambah bilangan pusat pemindahan banjir sementara (PPS) sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar tahun ini.

“Pada Ogos lalu latihan persiapan membabitkan semua agensi yang terbabit dengan banjir termasuk badan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada pemberita di Kota Darulnaim semalam.

Menurutnya juga mesyuarat Penyelarasan Sukarelawan Bencana melibatkan kerjasama kerajaan dengan NGO Khidmat Malaysia turut diadakan.

Kata beliau mesyuarat itu memberi fokus pengurusan tugas sukarelawan, latihan intensif, meningkatkan sistem komunikasi dan logistik.

“Dengan persediaan rapi tersebut kita harap usaha murni membantu mangsa bencana dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan tersusun,” katanya.

Mesyuarat turut dihadiri Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Mumtaz Md Nawi, Ahli Jawatankuasa Khidmat Malaysia Negeri, wakil daripada Khidmat Malaysia Kawasan dan wakil Yayasan Amal Malaysia.

Agensi yang terbabit dengan operasi banjir di Kelantan termasuk Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Bahagian Pengurusan Bencana Negeri; Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat: Jabatan Meteorologi Kelantan.

Selain itu Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Urus Setia Penghulu Negeri; Angkatan Pertahan Awam Malaysia Bahagian Operasi dan Bencana; Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri; Jabatan Amal dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangka Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November ini dan berterusan sehingga Mac 2025.

Menurutnya sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh tersebut.

Episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember ini, manakala hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari 2025. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

- Advertisement -