Dialog Exco: Rakyat semak imbang kerajaan negeri

Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menjawab pertanyaan peserta Dialog Exco Kerajaan Negeri Bersama Rakyat di Kuala Nerus, malam tadi.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Ketika di awal pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu penggal kedua yang lalu, ada yang datang bertanya, siapakah yang akan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri.”

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menerusi catatan di laman sosialnya.

Beliau menyatakan demikian susulan menjadi panel pada majlis Dialog Exco Kerajaan Negeri Bersama Rakyat di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, malam tadi.

- Advertisement -

Turut serta sebagai panel ialah Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Khuzaini Ab Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim.

“Jawapan saya cukup mudah, iaitu rakyat. Rakyatlah yang akan menjadi pembangkang bahkan sebagai semak imbang kepada pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya yang juga ADUN Wakaf Mempelam.

Menurutnya, dalam sesi Dialog Exco itu, ruang pertanyaan dibuka kepada semua hadirin untuk bertanya apa sahaja soalan secara terus kepada Exco.

Katanya, banyak juga soalan pada malam tadi yang menyentuh isu Kerajaan Tempatan dan Perumahan, dan kesemuanya telah dijawab dengan sebaik mungkin.

“Saya berharap agar dialog seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, serta untuk memastikan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab, insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/10/2024

- Advertisement -