
PADANG BESAR: Kejadian cerun runtuh di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar (Utara) telah mendapat perhatian ADUN Santan, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.
Beliau sehubungan dengan itu telah melakukan lawatan ke lokasi tersebut bagi meninjau keadaan dan mengkaji punca masalah itu, semalam.
Menurut Ustaz Muhammad Azmir, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada masalah saliran yang menyebabkan limpahan air.
Difahamkan, lebihan air yang tidak terkawal ini dikatakan telah menyebabkan tanah cerun mendap, lalu membawa kepada runtuhan.
“Kejadian cerun runtuh ini disebabkan oleh masalah saliran yang menyebabkan limpahan air hingga berlakunya mendapan pada tanah cerun di kawasan sekolah,” jelasnya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.

Dalam lawatan tersebut, turut sama ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim dan wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Juga Bahagian Pembangunan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), wakil pentadbiran sekolah serta pihak kontraktor yang terlibat.
Ujarnya, pihak berkuasa kini sedang mengambil tindakan segera untuk menangani masalah tersebut bersama langkah-langkah keselamatan bagi memastikan pelajar dan warga sekolah tidak terjejas.
“Pihak JKR akan mengadakan mesyuarat dengan agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” tambah beliau.
Katanya lagi, tindakan susulan akan terus dipantau bagi memastikan masalah ini tidak berulang dan keselamatan di sekolah tersebut dapat dijamin. – HARAKAHDAILY 3/10/2024












