
HULU LANGAT: Projek West Lake Universiti Nottingham Kampus Semenyih berjaya menukarkan sebuah kawasan takungan banjir menjadi sebuah pusat rekreasi yang indah dan menarik.
ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, melalui sinergi antara akademia, agensi dan masyarakat, Universiti Nottingham berkolaborasi dengan pelbagai pemegang taruh menukar kawasan banjir itu menjadi tasik rekreasi.
“Pagi semalam, saya berpeluang menghadiri dan merasmikan majlis pelancaran Projek West Lake Universiti Nottingham Kampus Semenyih bersama Vice Chancellor University of Nottingham, Prof West.
“Menariknya, tasik ini bukan sahaja terletak di bahagian barat kampus, tetapi juga dinamakan ‘West Lake’, sempena nama Prof West, yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya dalam beberapa bulan lagi,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook sebentar tadi.
Kata Nushi, West Lake pada asalnya adalah kawasan takungan banjir yang menjejaskan kawasan universiti dan rumah-rumah penduduk di sekitar Taman Tasik Semenyih, terutamanya pada musim monsoon.
Jelas beliau, setelah kerap terjadi takungan banjir ini, universiti mengambil inisiatif mencari penyelesaian yang lebih lestari.
“Ini bukan hanya membantu menyelesaikan masalah banjir, tetapi juga memberi manfaat besar kepada komuniti setempat melalui peningkatan kawasan rekreasi yang menarik dan mesra alam,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif itu selaras dengan teras #SepakatSemenyih, yang menekankan pentingnya kerjasama erat antara pelbagai pihak dalam usaha mewujudkan kesejahteraan bersama.


“Saya berbesar hati dapat merasmikan tasik ini bersama Prof West, disaksikan pengurusan tertinggi University of Nottingham, pihak berkuasa tempatan dan penduduk sekitar Taman Tasik Semenyih.
“Mudah-mudahan projek ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Semenyih dan sekelilingnya,” katanya.
Beliau juga berharap agar lebih banyak kerjasama dan sinergi antara akademia, organisasi, agensi, dan komuniti dapat diwujudkan supaya impak positif yang berterusan dapat dicapai, ke arah merealisasikan aspirasi #SemenyihSejahtera. – HARAKAHDAILY 2/9/2024











