Mangsa banjir puing terima serahan rumah baru

Menteri Besar, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Seri Norizan Khazali dan Exco Kerajaan Negeri ketika meninjau perkembangan rumah baharu fasa dua di Kampung Bok Bak, Kupang
- Advertisement -

BALING: Seramai 17 keluarga yang tinggal di kawasan berisiko sekitar Sungai Kupang, di sini bakal menerima rumah baharu dijangka siap Mac tahun hadapan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Jelas beliau, sebanyak 17 rumah baharu yang dibina di Kampung Bok Bak, di sini kini sudah siap 26 peratus selepas pembinaannya bermula pada Mac lalu.

Projek perumahan itu katanya, mencapai satu peratus lebih awal dari yang dijadualkan sejak mula dibina kira-kira enam bulan lalu.

“Kos pembinaan 17 rumah ini, sebanyak RM2.9 juta, sementara kos pengambilan tanah seluas 12 hektar, sebanyak RM600,000,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau perkembangan projek tersebut di Kampung Bok Bak, di sini hari ini.

Terdahulu, majlis penyerahan kunci rumah kepada 12 keluarga di Kampung Sadek telah disempurnakan oleh Menteri Besar dalam majlis ringkas, Jun tahun lalu.

Seramai 12 keluarga berkenaan masing-masing menerima rumah baharu dibina oleh kerajaan negeri, menggantikan kediaman mereka yang musnah dan hilang akibat kejadian banjir puing 4 Julai 2022 lalu.

Kejadian banjir puing dua tahun lalu menyebabkan 41 kawasan di Daerah Baling terjejas serta turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil dan mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta.

Sementara pada perkembangan lain Sanusi berkata, kerajaan negeri akan membuat persiapan awal bagi berdepan peralihan monsun di seluruh negeri termasuk di Kampung Iboi.

Beliau juga menegaskan, usaha mengeluarkan segala batu dan bahan yang menyekat aliran air sepanjang lima kilometer bermula dari Jambatan Bailey, Kampung Iboi akan dilaksanakan bagi melancarkan aliran air dan tidak mengganggu struktur tebing serta jambatan.

“Pembinaan empangan sabo, sudah ada penandaan lokasi, projek pun sudah dalam peringkat rekabentuk dan kerja pembinaan dijangka dilaksanakan tahun hadapan.

“Projek pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan Jambatan Bailey akan dibuka ditender pada Januari tahun hadapan dan akan dibina lebih tinggi dari tapak asal,” kata ADUN Jeneri itu lagi. – HARAKAHDAILY 2/10/2024

- Advertisement -