
KANGAR: Sebanyak 13 lokasi di seluruh negeri ini telah menyertai program Hari Cuci Malaysia yakni sebuah inisiatif gotong-royong mega yang berlangsung serentak di seluruh negara.
Program ini melibatkan kawasan di tiga Parlimen Perlis, iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyeru rakyat negeri ini untuk menerapkan ‘minda zero sampah’ demi memastikan kebersihan dan keindahan negeri sentiasa terpelihara, walaupun tanpa program kebersihan khusus.
“Alhamdulillah, program gotong-royong mega peringkat negeri Perlis ini dilaksanakan serentak di 13 lokasi yang meliputi ketiga-tiga kawasan Parlimen. Saya berharap agar kesedaran ini dapat dijadikan amalan harian oleh masyarakat,” katanya.
Majlis perasmian program telah diadakan di Pekarangan Masjid Al Shahrani, Taman Desa Kayang, pada Sabtu, 28 September kelmarin.
Program mendapat sambutan hangat daripada pelbagai jabatan, agensi negeri, serta penduduk setempat.
Antara pihak yang terlibat adalah Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, SWCorp, serta pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.
Kawasan yang terlibat dalam program pembersihan ini antaranya adalah Kampung Alor Marus, Kampung Guar Jentik, Kampung Guar Nangka serta beberapa lokasi lain di sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar.
Selain membersihkan kawasan sekitar, program ini juga bertujuan untuk mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya menjaga kebersihan persekitaran dan memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar. – HARAKAHDAILY 30/9/2024














