Taman Botanikal: Tarikan baharu pelancongan Perlis

- Advertisement -

PADANG BESAR: Taman Botanikal Perlis berpotensi menjadi salah satu tarikan utama pelancongan baharu di negeri ini, dengan matlamat utama memelihara tanaman nadir yang hampir pupus serta menjadi pusat penyelidikan penting untuk generasi masa depan.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata bahawa tanaman yang dikumpulkan di taman ini akan dijaga rapi untuk mengekalkan manfaatnya.

Pada masa yang sama menurutnya, taman ini juga akan menjadi tapak bagi kajian berterusan serta mampu memberi impak besar dalam bidang botani dan pertanian.

“Saya yakin bahawa Taman Botanikal Perlis akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan yang penting di negeri ini,” katanya dalam ucapannya semasa majlis perasmian taman tersebut di Jalan Guar Jentik, di sini hari ini.

Beliau juga berharap agar taman ini menjadi pusat penyelidikan saintifik dan pemuliharaan serta pusat pendidikan yang memberi tumpuan kepada pembangunan botani dan pertanian.

Mohd Shukri menyeru agar lokasi tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya, terutamanya bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Ia juga boleh menjadi sebahagian daripada usaha memperkasakan Perlis Geopark, yang baru-baru ini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-10 dengan markah penilaian cemerlang 92.96 peratus,” katanya lagi.

Beliau menyatakan harapannya agar status itu terus berkembang sehingga mencapai taraf tapak warisan daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO Geopark) pada masa akan datang.

Kerajaan negeri turut mengalu-alukan kerjasama dengan Kelab Batu Permata Fosil dan Mineral Malaysia, salah satu rakan strategik dalam pembangunan Taman Botanikal Perlis.

Mohd Shukri berharap lebih banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan memanfaatkan status Perlis Geopark ini untuk memperkasa sektor pelancongan, penyelidikan dan pemuliharaan alam di negeri ini. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -