Sasar keluar 1,250 tan metrik benih padi tahun 2025

- Advertisement -

PADANG BESAR: Perlis bakal menghasilkan sebanyak 1,250 tan metrik atau 62,500 beg benih padi menjelang tahun depan, dalam usaha menampung lebih 32 peratus keperluan benih padi di negeri ini.

- Advertisement -

Langkah ini dijangka membantu mengatasi isu kelewatan bekalan benih yang sering dihadapi pesawah, demikian maklum Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Razali Saad.

Menurutnya, sebanyak 500 hektar ladang benih padi akan diwujudkan secara berperingkat melibatkan 10 kampung di seluruh Perlis, dengan projek perintis seluas 50 hektar telah dilaksanakan di Kampung Semadong.

Ladang perintis tersebut katanya, melibatkan 42 peserta dan dijangka menghasilkan 125 tan metrik benih untuk musim ini.

Projek itu beritahunya, adalah usaha bersama antara Jabatan Pertanian negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya lagi, ladang benih padi akan diperluas ke kawasan lain seperti Padang Siding, Mata Ayer, Bintong dan Paya, bagi menampung keseluruhan keperluan benih padi di negeri ini yang berjumlah 3,803 tan metrik setahun.

“Kewujudan ladang benih ini diharapkan dapat mengurangkan masalah kekurangan benih yang sering berlaku, khususnya pada musim kedua penanaman,” ujar Razali selepas majlis penuaian padi di Kampung Semadong, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Razali turut memaklumkan bahawa 432.9 hektar sawah melibatkan 256 pesawah di Perlis telah terjejas akibat banjir, dengan anggaran kerugian mencecah RM3.5 juta.

Beliau turut memberi amaran terhadap risiko banjir pada Oktober ini di mana dijangka memburukkan lagi keadaan sawah yang telah rosak.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Hafizuddin Othman dan Pengarah LPP Negeri, Roshida Ahmad serta ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun dan Ketua Unit Semadong, Che Fariz Izani Che Ya. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -