
BAGAN SERAI: Keputusan memansuhkan Hutan Simpan (HS) Segari Melintang bukan sahaja bertentang dengan dasar kerajaan negeri, malah boleh membawa impak buruk kepada kelestarian alam sekitar.
Pesuruhjaya PAS Perak yang juga ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria, berkata, hutan simpan yang berkeluasan 287.8 hektar itu juga merupakan punca rezeki hampir 200 komuniti nelayan setempat.
“Hutan Simpan Segari Melintang memiliki peranan semulajadi yang sangat penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem, mencegah banjir, zon penampan daripada bencana.
“(Ia) juga habitat kepada pelbagai flora dan fauna yang unik dan tersendiri. Oleh itu langkah pemansuhan hutan simpan ini telah menimbulkan keresahan serta kekhuatiran yang serius terhadap penduduk,” katanya.
Tegas Razman lagi, kerajaan negeri wajar melihat hal ini dengan lebih serius serta mengambil kira pandangan serta suara rakyat bawahan, memandangkan keputusan itu memberi kesan secara langsung kepada kehidupan mereka.
Justeru beliau turut menyokong pandangan dibangkitkan badan bukan kerajaan (NGO) Rakan Segari yang menganggap tindakan ‘menyahwartakan’ hutan simpan ini sebagai langkah tempang serta bercanggah dengan dasar ‘Perak Bumi Lestari 2030’.
Malah bertepatan dengan itu ujarnya, amat wajar Hutan Simpan Segari Melintang itu terus kekal sebagai Hutan Perlindungan sebagaimana pernah diusulkan oleh bekas Exco Alam Sekitar, Akmal Kamarudin sebelum ini.
“Janganlah kerana kerakusan sesetengah pihak, kita terpaksa mengorbankan khazanah alam yang sepatutnya diwariskan kepada generasi mendatang.
“Kerajaan negeri perlu bersikap tegas dan menarik semula nyahwarta Hutan Simpan tersebut dan memberhentikan sebarang operasi pengkuarian serta merta sekiranya benar-benar serius mengenai isu alam sekitar,” bidasnya.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan agar Exco Alam Sekitar Negeri turun ke lapangan dan menyaksikan sendiri keadaan kawasan Hutan Simpan Segari Melintang.
Perak katanya, mempunyai banyak alternatif ekonomi seperti nadir bumi Rear Earth Element (REE) yang dijangka mampu mengimbangi keperluan pembangunan negeri.
“Saya berharap kerajaan negeri tidak tunduk kepada tekanan syarikat yang rakus menjarah bumi negeri Perak dan menarik balik keputusan memansuhkan sebahagian Hutan Simpan Segari Melintang demi kepentingan awam secara menyeluruh.
“Saya juga menyeru kepada semua pihak untuk bersatu padu dalam usaha upaya melindungi Hutan Simpan Segari Melintang,” tegas Ketua Pembangkang DUN Perak itu lagi. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











