PMX dicabar saman Bloomberg dakwaan arah SPRM henti siasatan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KLUANG: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) agar menyaman agensi berita Bloomberg atas penyiaran artikel berkaitan skandal pemilikan saham oleh bekas setiausaha politiknya, Datuk Farhash Wafa Salvador.

Menurut beliau, artikel tersebut yang disiarkan semalam menyebut bahawa PMX telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jangan menyiasat kes tersebut.

“Kita sangat-sangat melihat bagaimana negara pada hari ini berada pada hala tuju yang salah. Hari ini Bloomberg, agensi media antarabangsa melaporkan bahawa Perdana Menteri sendiri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan kepada SPRM supaya jangan menyiasat anak angkatnya yang bernama Farhash ini.

- Advertisement -

“Ini laporan Bloomberg. Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri namanya saudara Farhash tiba-tiba jadi jutawan muda. Dengan pembelian saham yang tuan-tuan sendiri tahulah kronologinya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada program ceramah PERIKATAN NASIONAL bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota di Taman Sri Kluang, di sini, malam tadi.

Jelas beliau, sebelum ini pelbagai pihak telah pun membuat gesaan malah laporan kepada SPRM agar Farhash disiasat atas dakwaan memiliki saham syarikat pada jumlah yang luar biasa dan melibatkan syarikat tersenarai yang dikatakan bakal menerima projek daripada kerajaan.

“Bagaimana seorang bekas setiausaha politik tiba-tiba menjadi seorang jutawan muda. Kita minta supaya SPRM siasat. Tiba-tiba Bloomberg buat menyiarkan artikel pada hari ini bahawa PM mengarahkan SPRM jangan siasat saudara Farhash,” katanya.

Sebaliknya, kata Fadhli, dalam masa yang sama PMX pula membuat arahan supaya SPRM fokus kepada siasatan kepada anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad dan juga Tun Daim Zainuddin.

“Hari ini juga Pejabat Perdana Menteri membuat penafian terhadap laporan ini. Bagus, tahniah buat laporan. Tetapi saya nak cabar Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya saman Bloomberg di atas kesalahan memfitnah beliau.

“Kalau tak betul, saman sajalah! Bloomberg ada di Kuala Lumpur, ada pejabat, boleh saman. Kenapa tak nak saman?” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Ahmad Fadhli turut menyifatkan PMX sebagai seorang Perdana Menteri yang hanya berani seorang diri di atas gelanggang.

“Dia singsing lengan bila. Bila dia sinsing lengan, berucap di stadium Axiata ‘Ini Anwar Ibrahim!” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -