
KUALA LUMPUR: Mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil berkata bahawa Bloomberg dalam satu laporan beritanya mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah mengarahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk tidak menyiasat Farhash Wafa Salvador Rizal berhubung isu pembelian saham.
Memetik berita yang dilaporkan oleh portal Bloomberg, Isham berkata, jika perkara itu benar-benar berlaku, ianya adalah salah di sisi undang-undang kerana seorang Perdana Menteri tidak boleh mengarahkan SPRM untuk menyiasat atau tidak menyiasat seseorang.
“Pada saya, jika benda ini berlaku, ia adalah salah di sisi undang-undang. Seorang Perdana Menteri tidak boleh arahkan SPRM untuk menyiasat atau tidak menyiasat seseorang.
“Terutama jika seseorang itu ada kena mengena dengan dia, keluarga dia ke, kawan dia ke, atau kroni dia,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di laman TikTok beliau.
Namun, menurut Isham, jika laporan yang dikeluarkan itu adalah tidak benar, beliau menggesa Perdana Menteri untuk mengambil tindakan saman terhadap Bloomberg.
“Jika benda ini fitnah, ini adalah satu (perkara) yang serius. Anwar boleh saman Bloomberg.
“Kalau tak betul, saya sarankan kepada Perdana Menteri saman lah Bloomberg. Sebab kalau Perdana Menteri tak saman Bloomberg, maka dia mengiyakan laporan itu lah.
“Ini bertentangan dengan dasar tatakelola, anti rasuah yang diperjuangkan dan dilaung-laungkan oleh PMX.
“Saya nak tengok Perdana Menteri menafikan perkara ini jika ia tidak betul,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











