
KUALA TERENGGANU: Pesta Buku @PPAT 2024 yang berlangsung di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, dari 25 September hingga 1 Oktober, diharap dapat memperkukuh budaya membaca serta meningkatkan kecelikan ilmu dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata program seumpama ini penting bagi memupuk pemikiran yang lebih maju dan berkualiti dalam kalangan rakyat.
“Kecelikan ilmu adalah kunci yang mampu mengubah cara kita berfikir, bertindak, dan menghasilkan sesuatu yang lebih berkualiti.
“Ini yang kita harapkan melalui Pesta Buku @PPAT ini,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain; dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Norliza Ismail.
Maliaman memuji usaha berterusan pelbagai pihak dalam memupuk minat membaca dalam masyarakat serta mengekalkan suasana keilmuan melalui penulisan dan media cetak.
“Program sebegini sangat penting bagi memastikan tradisi keilmuan berterusan, khususnya melalui bahan cetakan yang menjamin keselamatan ilmu serta ketulenan sumber,” katanya.
Untuk rekod, Pesta Buku @PPAT 2024 menarik penyertaan sebanyak 73 penerbit tempatan dan antarabangsa, yang menawarkan pelbagai bahan bacaan termasuk novel, komik, buku pelajaran serta bahan bacaan umum dengan harga promosi yang berpatutan.
Selain jualan buku, alat bantuan mengajar dan alat tulis turut dijual di pesta ini.
Pelbagai aktiviti dapat disertai oleh pengunjung sepanjang tujuh hari program, termasuk pertandingan mewarna, Jigsaw Puzzle pada waktu malam, ceramah bertemakan kekeluargaan bertajuk Mendidik Keluarga Cemerlang Pendidikan bersama Coach Termizi, dan bengkel melukis kartun bersama Dato’ Imuda.
Sesi bicara karya bertajuk ‘Ulama Terengganu: Suatu Sorotan’ edisi baharu turut menjadi salah satu tarikan utama.
Acara ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan busking serta jualan makanan oleh peniaga trak makanan.
Bagi memudahkan pengunjung, waktu operasi perpustakaan dilanjutkan sehingga 10 malam, khusus untuk bahagian kanak-kanak dan pinjaman dewasa. – HARAKAHDAILY 27/9/2024











