Junjung kasih perkenan ampun dari Sultan Selangor

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS Kedah Negeri menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menerima permohonan ampun Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada baginda, Rabu lalu.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, berkata, pihaknya juga turut menjunjung segala titah nasihat Tuanku Sultan dan mengharapkan baginda sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Semalam, Sultan Selangor, melalui warkah yang disiarkan di Facebook rasmi Selangor Royal Office berkenan menerima permohonan ampun daripada Muhammad Sanusi.

Perkenan permohonan ampun itu titah Baginda atas ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu, malah tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain.

“Dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya,” ujar baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menasihati Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata.

Dua hari lalu, Sanusi melalui sidangnya membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Sultan Selangor dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman.

Beliau mengakui kenyataannya pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, sepertima telah dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah, dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor.

“Patik ingin menyembah maklum bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku Sultan yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang, khususnya berkaitan kes patik di negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan

“Sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya,” kata beliau.- HARAKAHDAILY 27/9/2024

- Advertisement -