
BAGAN SERAI: ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria menyambut kedatangan pelakon terkenal tanah air, Pablo Amirul yang singgah di Masjid Tinggi, Bagan Serai, di sini Subuh hari ini.
Pelakon itubersama rakan-rakan artis lain, Zalif Sidek dan Along Eyzendy sedang menjalankan kempen Larian Solo Seniman Agung P. Ramlee bertujuan mengumpul dana untuk membantu rakan-rakan dalam industri seni yang terjejas.
Razman, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, melahirkan rasa syukur atas inisiatif yang dijalankan oleh Pablo Amirul dan pasukannya.
“Yang baiknya, pasukan ini menjadikan masjid sebagai ‘checkpoint’ setiap kali berhenti sebelum meneruskan larian.
“Setakat ini, Pablo sudah berjaya berlari lebih daripada 60 kilometer, bermula dari Pulau Pinang dan kini berada di Bagan Serai, Perak,” katanya.
Pablo Amirul, dalam larian solonya, dijangka akan melengkapkan jarak keseluruhan sejauh 367 kilometer dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Misi larian ini tidak hanya bertujuan untuk menyokong para seniman yang memerlukan, tetapi juga untuk mengangkat nama Seniman Agung P. Ramlee sebagai inspirasi bagi generasi seni tanah air.
Razman turut menyatakan kesyukuran atas peluang menjemput Pablo dan pasukannya bersarapan pagi di Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol.
Beliau berharap larian solo ini akan mencapai matlamatnya dan dana diperlukan dapat dikumpulkan untuk membantu mereka yang terjejas dalam industri seni.
Larian ini dijangka selesai di Kuala Lumpur dalam beberapa hari akan datang dan Pablo Amirul berharap lebih ramai masyarakat akan menyokong usaha murni ini. – HARAKAHDAILY 24/9/2024












