
AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka diminta memberi penjelasan sama ada mereka akan mengambil tindakan ke atas pegawai terlibat sekiranya berlaku kejadian slide khutbah Jumaat memaparkan gambar Ketua Bahagian Umno yang bukan Exco atau gambar pimpinan DAP seperti Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin membangkitkan perkara tersebut susulan kejadian empat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menghadapi tindakan pemecatan atau penukaran jawatan kerana secara tidak sengaja memaparkan gambar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu slide khutbah Jumaat baru-baru ini.
“Saya tidak terkejut ke atas tindakan yang diambil oleh Kerajaan Melaka tehadap kecuaian pegawai dan kakitangan JAIM yang secara tidak sengaja menyelit slide yang ada gambar Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang. Cuma tindakan memecat itu keterlaluan dan zalim,” katanya.
Tegasnya, sekiranya benar bahawa tindakan tersebut diambil kerana mahu mengasingkan masjid daripada pengaruh politik atau dipolitikkan, ia seharusnya meliputi semua orang politik kecuali mereka yang berada dalam pentadbiran kerajaan seperti Menteri atau Exco, bukan hanya pembangkang.
Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, tindakan dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri tidak wajar sehingga ke tahap itu memandangkan Tuan Guru Abdul Hadi adalah seorang ulama yang sangat disegani di dunia Islam kerana keilmuannya.
“Hanya kita di Malaysia yang memandang rendah terhadap beliau kerana keterlibatan beliau di dalam politik tanah air. Sedangkan Islam dan politik itu tidak terpisah.
“Yang memisahkannya adalah musuh Islam yang menjaja fahaman sekular dan meracuni pemikiran umat Islam melalui pemikiran liberalisme, pluralisme dan berbagai-bagai ideologi yang menyesatkan,” katanya.
Tambah beliau, umum mengetahui dan maklum bagaimana institusi masjid di Melaka tidak bebas dari unsur politik walaupun dinyatanya tidak boleh berpolitik di masjid.
“Sekadar retorik saja tapi tidak pada perlaksanaannya. Lihat sahaja apabila pelantikan Pengerusi dan AJK Masjid. Apakah benar-benar tiada unsur politik?
“Saya dimaklumkan bahawa ada terdapat masalah pelantikan dan pertukaran Pengerusi dan AJK di beberapa masjid dan surau baru- baru ini menimbulkan konflik dan keresahan di antara anak-anak kariah atau jamaah surau dan masjid kerana campur tangan politik,” dedahnya.
Tambah Bakri, berlaku juga situasi di mana ada individu yang tidak pernah datang ke surau dilantik menjadi pengerusi disebabkan kecenderunganya terhadap pemimpin politik tertentu.
“Apakah institusi masjid dan surau itu untuk parti politik tertentu sahaja? Sedangkan ianya dibangunkan atas sumbangan orang ramai dan hasil cukai keringat rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Media sebelum itu melaporkan bahawa Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, empat orang pegawai yang terlibat dalam kejadian itu menghadapi tindakan sama ada melibatkan pemecatan atau penukaran jawatan.
Menurut laporan itu, Rahmad dalam alasannya berkata kejadian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri Melaka. – HARAKAHDAILY 24/9/2024











