‘Setakat ini respons sangat positif, alhamdulillah’

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KLUANG: Pengundi-pengundi muda diyakini akan terus memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota kali ini seperti yang berlaku dalam pilihan-pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, maklumat itu berdasarkan data-data terkini yang diperolehi oleh pihaknya di kawasan pilihan raya tersebut.

“Kita ada buat tiga siri kempen, tiga bentuk. Satu rumah ke rumah; kedua ceramah-ceramah kelompok, ceramah-ceramah umum dan yang ketiga ialah melalui media sosial. Setakat ini respons sangat positif, alhamdulillah.

- Advertisement -

“Saya tengok terutama di kalangan anak muda. Anak muda ni pada pilihan raya umum negeri dulu mereka tak berpeluang mengundi. Walaupun dah masuk sistem tapi sebahagiannya tidak mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan usai ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, di sini, malam tadi.

Jelas beliau, daripada tinjauan yang dibuat, anak-anak muda dilihat sangat teruja untuk keluar mengundi pada kali ini.

“Biasanya anak muda ini dia mengikuti perkembangan dalam media sosial semua. Dia tahu apa yang berlaku.

“Data yang ada pada kita biasanya anak muda lebih cenderung untuk menyokong dan mengundi PERIKATAN NASIONAL, insya-Allah. Kita harapkan begitu,” ujarnya.

Mengulas tentang kebarangkalian untuk pengundi-pengundi yang menetap di luar luar kawasan untuk keluar mengundi, beliau berkata, kebanyakan pengundi luar berada di Johor Bahru dan sebahagian di Kuala Lumpur di mana jarak mereka tidak terlalu jauh untuk pulang.

“Jaraknya lebih kurang dua, tiga jam. Saya rasa dia boleh balik. Tambahan pula mengundi kali ini pada hari Sabtu, hari tidak bekerja.

“Jadi Johor pun cuti dan negeri lain pun cuti. Jadi kita harapkan mereka ini tidak jauh. Daftar yang ada pengundi luar yang jauh ini tidak ramai, tak sampai 10 peratus pun,” katanya.

Beliau turut berharap agar faktor untuk pulang mengundi ini bukan faktor besar dan mengharapkan semua pengundi luar mempunyai keazaman untuk pulang mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Selain Ustaz Tuan Ibrahim, turut berucap ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRK Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan).

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Dalam PRK ini, calon PERIKATAN NASIONAL, ‘Coach Haizan’ ditentang calon BN Syed Hussein Syed Abdullah, 40, yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang dalam pertembungan satu lawan satu.

28 September ditetapkan sebagai hari mengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka manakala pengundian awal pula akan berlangsung pada 24 September melibatkan tiga pusat mengundi. – HARAKAHDAILY 23/9/2024

- Advertisement -