
KLUANG: Sebagai Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) sepatutnya memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tanpa syarat agar dicontohi oleh kerajaan-kerajaan negeri.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apa yang berlaku, kerajaan-kerajaan negeri pula yang telah bertindak begitu, sedangkan Kerajaan Persekutuan sebaliknya masih bertindak menyukarkan rundingan.
“Sepatutnya Persekutuanlah kena buat dulu. Ini negeri-negeri bagi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, tak ada syarat pun. Perak bagi, tak ada syarat. Selangor bagi, tak ada syarat.
“Kelantan bagi, tak ada syarat. Kedah bagi, tak ada syarat. Negeri pula bagi tak ada syarat, Perlukah? Malulah! Sepatutnya Persekutuan jadi model negeri-negeri contoh!” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada wartawan usai ceramah kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang berlangsung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, di sini, malam tadi.
Selain Ustaz Tuan Ibrahim, turut berucap ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan calon PERIKATAN NASIONAL bagi PRK Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar (Coach Haizan).
Tambah beliau, tindakan pihak PH-BN yang cuba mewujudkan naratif bahawa keputusan PERIKATAN NASIONAL menolak perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan itu merugikan rakyat dan rakyat marah dengan tindakan itu sebagai tindakan yang tidak wajar.
“Kita tolak kerana syarat MoU. (Syarat) MoU tidak munasabah langsung. Saya rasa PM pun tak baca, wallahu’alam. Kalau kita baca, saya pun terkejut dengan MoU tiga empat lima muka surat. MoU apa?
“Lepas tu letakkan syarat-syarat kesamaan; tak boleh menegur… Jadi siapa jadi hakim dalam kes ini? Jadi oleh kerana itu saya fikir MoU ini tak sepatutnya begitu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. – HARAKAHDAILY 23/9/2024











