
KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim, menyokong pengembalian semula peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), yang sebelum ini telah dimansuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut beliau, peperiksaan bukan sahaja satu kayu ukur pencapaian akademik, tetapi juga satu mekanisme yang memotivasikan pelajar untuk belajar dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh.
“Zaman ambe (saya) sekolah dulu, kalau tanya sebab apa belajar sungguh-sungguh, maka jawabnya sebab nak lulus periksa dengan cemerlang.
“Memang hebat kalau ada pelajar sekolah jawab dia belajar sungguh-sungguh sebab nak cari ilmu,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Azman berharap agar pakar-pakar pendidikan dapat mempertimbangkan semula kepentingan peperiksaan itu, kerana bagi beliau, ia juga asas kepada kejayaan ramai pemimpin hari ini yang turut mencapai kedudukan mereka melalui kejayaan dalam peperiksaan.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan bahawa KPM kekal dengan keputusan untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3.
Beliau berkata, kementerian kini menumpukan perhatian kepada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 serta Pelan Pembangunan Pendidikan baharu yang sedang dirangka. – HARAKAHDAILY 23/9/2024











