
KOTA BHARU: Atlet 400 meter lari berpagar Kelantan Muhammad Fakrul Afizul Nasir berazam mencipta kejutan pada Sukan SEA di Thailand tahun depan.
Sebelum ini beliau muncul atlet pertama berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada sukan olahraga di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak bulan lalu.
Katanya, sekarang beliau sedang giat melakukan latihan bagi melepasi kelayakan untuk mewakili Malaysia ke Sukan terbesar Asia Tenggara itu sekali gus akan merebut pingat untuk negara.
“Sekarang saya masih lagi tidak dapat secara merit untuk ke Sukan SEA, tetapi insya-Allah kalau ada game yang terdekat saya akan cuba kelayakan untuk beraksi ke Sukan SEA tahun depan.
“Buat masa sekarang dengan timing saya berada pada tempat keempat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Sukma Sarawak 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.
Pada majlis tersebut Muhammad Fakrul turut menerima insentif yang disampaikan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad.
Fakrul juga berkata, insentif yang diperoleh itu sedikit sebanyak meningkatkan motivasi untuk terus cemerlang pada kejohanan akan datang.
Pada Sukma bulan lalu Fakrul mencatat masa terpantas 51.11 saat (s) sekali gus memenangi pingat emas pada aksi final di Stadium Sarawak.
Catatan itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 51.26s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Yecheon, Korea Selatan pada 7 Jun tahun lalu.
Pada edisi Sukma di Kuala Lumpur sebelum ini Fakrul memperoleh pingat gangsa.
Sehubungan itu, beliau merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan Kelantan di atas insentif yang diberi.
“Sumbangan berkenaan akan menjadi semangat buat saya untuk terus berjuang bergelar juara pada siri akan datang.
“Terima kasih juga kepada rakyat Kelantan yang sentiasa mendoakan saya agar meraih kejayaan dalam setiap pertandingan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2024











