Muka baru KDN FC tunjuk prestasi baik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Beberapa muka baru skuad Kelantan Darulnaim FC (KDN FC) sudah menunjukkan prestasi permainan mereka dengan baik pada saingan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super 2024/25 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Penolong ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya berkata, walaupun skuad Sang Kijang Emas itu tewas 1-6 kepada JDT, namun ada perkara positif yang boleh dipelajari.

Katanya, pemain yang diturunkan, termasuk beberapa muka baharu sudah menjalankan tugas  mereka dengan baik pada babak pertama.

- Advertisement -

“Mereka telah berjaya  merantai pergerakan barisan serangan Harimau Selatan sehinggalah tempoh lima minit terakhir apabila gawang Kijang Emas dibolosi dua gol,” katanya pada catatan Facebook KDN FC hari ini.

Katanya, peluang beraksi diberikan kepada pemain yang direkrut masuk menyaksikan perancangan mereka menjadi pada 45 minit babak pertama namun akibat sering menerima asakan dan serangan menyebabkan pemain mula hilang fokus sehingga melepaskan 6 gol kepada JDT.

“Hasil perbincangan dengan ketua jurulatih, kami kena simpan Oday dan Jerabek kerana mereka ada kad kuning.

“Selepas ini, kami lawan Negeri Sembilan jadi kami beri peluang pada gandingan pemain baru serta import,” katanya lagi.

Beliau menambah, pengurusan KDN FC ingin melihat gandingan mereka dan tampak menjadi pada 45 minit pertama tetapi selepas itu akibat asakan dan serangan, pemain hilang fokus.

Mengulas lanjut, Rezal memuji beberapa pemain terutamanya Fikri Che Soh serta kelibat Washington Brandao pada babak kedua kerana memberikan impak segera sebaik dimasukkan.

“Pemain ini menguatkan posisi. Fikri di posisi penjaga gol cemerlang kerana banyak menyelamatkan percubaan.

“Kehadiran Washington lebih baik dari import sebelum ini. Kita nampak di bahagian serangan  kesungguhan pemain cuma kegopohan serta keputusan terakhir perlu diperbaiki,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, segala kesilapan malam tadi perlu dibaiki sebelum KDN FC lawan Negeri Sembilan.

Pada aksi di SSI, segalanya sempurna pada awal perlawanan setelah pemain KDN FC mampu menyerap asakan. – HARAKAHDAILY 23/9/2024

- Advertisement -