
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di enam negeri sehingga jam 4 petang, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat adalah Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak.
“Oleh demikian, kawasan di Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang).
“Selain itu, kawasan di Kelantan (Jeli, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai); Terengganu (Besut, Dungun dan Kemaman); dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan).
“Seterusnya, kawasan di Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru); dan Sarawak di Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2024











