
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah kepada PMX yang akhirnya mengakui yang beliau adalah seorang bekas banduan yang diucapkan dengan begitu bangga di hadapan khalayak ramai.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, bahkan PMX menyebut dengan terbuka bahawa beliau merupakan ‘banduan terhormat’ yang dikenakan tindakan keji dan zalim ketika zaman pemerintahan UMNO-BN yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaannya.
“Pertikaian berkenaan salah atau tidak terhadap hukuman sehingga PMX menjadi seorang ‘banduan terhormat’ adalah tertakluk kepada fakta kes mahkamah yang beliau dijatuhi hukuman,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jika hukuman itu adalah bentuk kezaliman dan kekejian ke atas PMX, Pemuda PAS memberi saranan supaya kes itu disemak semula dan PMX berhak menuntut ganti rugi yang besar sepanjang tempoh kes yang disabitkan kesalahan oleh pihak mahkamah.
Tegasnya, Pemuda PAS beranggapan institusi mahkamah perlu terus dipelihara daripada tuduhan sebagai zalim dan keji, lebih-lebih lagi daripada seorang Perdana Menteri dalam negara.
Tam bahnya, institusi mahkamah juga perlu bebas daripada manipulasi dan campur tangan ahli politik dan pihak pemerintah.
“Semoga tidak lahir lagi ‘banduan terhormat’ lain di Malaysia ini,” ujarnya yang juga ADUN Manjoi. – HARAKAHDAILY 23/9/2024











