Rasai keunikan di Festival Peranakan Terengganu 2024

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Orang ramai kini berpeluang merasai keunikan budaya Peranakan Malaysia menerusi Festival Peranakan Terengganu 2024 yang berlangsung di Pusat Beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC), di sini selama dua hari, bermula 20 September sehingga hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, festival yang dianjurkan oleh Ping Anchorage Travel dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bertujuan untuk mempamerkan ciri khas kaum peranakan melalui budaya, makanan dan pakaian tradisional.

“Pengunjung boleh menjelajah pelbagai aktiviti menarik di festival berkenaan termasuk gerai jualan yang menampilkan barangan peranakan yang dihasilkan dengan teliti.

- Advertisement -

“Pelbagai acara menarik menanti para pengunjung. Antaranya Demonstrasi Kaligrafi Cina, Ukiran Kayu Kaligrafi Cina, Kraf melukis dan mewarna Kipas, Lukisan Batik Motif Peranakan, Pembuatan Tanglong, Mek dan Awang Makan Sireh dan Pembuatan Kueh Peranakan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya selepas merasmikan majlis berkenaan, kelmarin.

Berkongsi sambutan ketibaan beliau di majlis tersebut, Amzad teruja dengan persembahan gendang Cina 24 musim dari masyarakat tersebut.

“Jika Melayu mempunyai alat muzik tradisional seperti kompang, India mempunyai dhol, maka kaum Cina mempunyai Gendang 24 Musim.

“Gendang ini juga dikenali sebagai gendang Cina atau shigu melibatkan sejumlah 24 gendang mewakili satu musim dalam 24 musim pertanian kalandar Cina,” katanya.

Beliau berkata, usai majlis perasmian, pengunjung telah dihidangkan dengan persembahan kebudayaan yang sangat mempersona yang dipersembahkan oleh anak-anak cilik dan muzikal oleh anak-anak belia remaja.

“Istimewanya, kedua persembahan ini melibatkan pelbagai bangsa Melayu, Cina dan India,” katanya.

Pada kemuncak acara beliau juga telah dibawa melihat reruai pameran yang ada di sekitar tapak program. Turut diadakan adalah demonstrasi tai chi oleh peserta tempatan.

Beliau berkata, program selama dua hari itu turut diserikan dengan persembahan tarian singa, gendang 24 musim, tarian kanak-kanak serta persembahan pancaragam dan banyak lagi yang menanti pengunjung. – HARAKAHDAILY 22/9/2024

- Advertisement -