Banjir jangan jadi medan buat dosa – PJ PAS Kedah

Sekalipun MB tiada atau PM ada, banjir tetap ada

- Advertisement -

POKOK SENA: Bencana mahupun musibah yang melanda, wajar dijadikan medan untuk berkhidmat dan tolong menolong serta mengejar pahala Allah SWT.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, bahkan bencana jangan dijadikan medan untuk berbuat dosa yang tidak akan membawa apa-apa keuntungan.

“Sama ada Menteri Besar ada atau tiada di Kedah, banjir berlaku juga, waktu Perdana Menteri ada pun, air naik juga. Bila berlaku musibah atau bencana, tidak perlu ambik kesempatan atas  kepentingan politik.

“Sebaliknya ini adalah ruang terbaik untuk kita saling bantu membantu,” nasihat beliau ketika ditemui pada sidang media di Markas PAS Pokok Sena, Langgar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Ahmad, dari sudut pengurusan banjir, sudah ada agensi yang terlibat seperti Bomba, Polis, Pertahanan Awam dan Kebajikan Masyarakat lain-lain yang menguruskannya.

Malah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka untuk menempatkan mangsa banjir, juga diambil tindakan atas pandangan Penghulu dan Pejabat Daerah.

“Agensi kerajaan negeri sedia ada sudah memainkan peranan yang terbaik termasuk agensi Kerajaan Persekutuan yang membantu sejak awal lagi. (Jadi) kalau ada pihak yang mengatakan banjir di Kedah tidak terurus, rasanya tidak benar.

“Walaupun Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berada di luar negara atas urusan rasmi, namun kerja-kerja mengurus mangsa banjir berjalan lancar,” tegas beliau lagi.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, baginya seorang pemimpin sama ada Perdana Menteri, Menteri Besar atau lain-lain yang mentadbir serta mengurus negeri ataunegara, sudah mempunyai jadual diatur awal.

Bahkan ujar Ahmad, pemimpin parti politik juga mempunyai jadualnya sendiri yang disusun untuk melaksanakan tanggungjawabnya.

“Contohnya pemimpin PAS, sebaik sahaja selesai muktamar, sebahagiannya ke DUN Mahkota kerana ada tugasan di sana. Tiba-tiba berlaku banjir di sini (Kedah), (sedangkan) jadual di sana (DUN Mahkota).

“Adakah perlu tinggal semua, pakat lari balik? Ikut tu…memanglah yang terbaiknya balik, semua pakat ada sini, tapi dari sudut gerakerja menyelamat, membantu dan sebagainya, tidak menghalang dengan tiadanya pemimpin utama,” tambahnya.

Malah kata beliau, bantuan kepada mangsa banjir berjalan lancar dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Khidmat Malaysia (KM), Jabatan Amal dan lain-lain.

Sementara itu ujarnya, kewibawaan Sanusi tidak boleh dipertikaikan, di mana walaupun beliau tiada di Kedah, sumbangan serta bantuan kepada mangsa banjir segera diluluskan sebanyak RM1,000 untuk setiap keluarga yang tinggal di PPS.

“Malam tadi dia (Sanusi) baru sampai dari Jepun, terus mai (mari) melawat PPS di Bukit Hijau dan Derang, walaupun sudah larut malam. Itu tanda pemimpin prihatin kepada rakyat,” katanya lagi.

Sanusi yang dijadualkan ke Pulau Okinawa selepas ke Kumamoto City dalam lawatan kerjanya ke Jepun berkaitan operasi takungan air bawah tanah telah memendekkan lawatan tersebut dan segera pulang ke tanah air semalam.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6:00 petang sebelum tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar jam 8:30 malam sebelum turun ke dua PPS di Pokok Sena jam 11:30 malam dan 1:00 pagi tadi. – HARAKAHDAILY 22/9/2024

- Advertisement -